Kerja Baiki Jambatan Gantung Kampung Chatel Damai Dijangka Hujung Bulan Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Krai: Kerja baik pulih segera jambatan gantung yang runtuh di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, pada Khamis minggu lalu akan bermula hujung bulan ini.

Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Kelantan, Jasri Kasim berkata, pihaknya sedang menilai keperluan penduduk untuk terus menggunakan jambatan berkenaan sebagai laluan utama dan akan mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan pengguna.

Katanya, kerja baik pulih sementara akan cuba dipastikan siap dalam tempoh suku tahun pertama termasuk menggantikan kabel besi dan lantai kayu titi gantung bagi membolehkan ia digunakan semula dalam jangka pendek.

“Anggaran kos untuk kerja penggantian kabel besi dan lantai kayu dianggarkan sekitar RM400,000.

“Sementara itu, penilaian teknikal mendapati struktur tersebut masih boleh digunakan sementara waktu selepas kerja pembaikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jasri menjelaskan, bagaimanapun perancangan jangka panjang adalah untuk membina sebuah jambatan konkrit yang lebih kukuh dan selamat bagi kegunaan penduduk setempat.

“Jambatan konkrit yang boleh dilalui oleh semua kenderaan adalah penyelesaian jangka panjang, namun kosnya agak tinggi.

“Pada ketika ini, perbincangan sedang dibuat bersama pejabat tanah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkaitan bagi menilai reka bentuk dan anggaran kos keseluruhan,” katanya.

Katanya, cadangan pembinaan jambatan konkrit itu akan dibawa ke ibu pejabat untuk penilaian bajet awal sebelum proses perolehan kerja dijangka bermula pada hujung Januari ini.

“Dalam masa terdekat, kami akan turun ke lokasi untuk berbincang dengan penduduk bagi memastikan keperluan mereka dipenuhi dan urusan harian tidak terjejas,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan segera titi gantung itu yang runtuh sehingga menyebabkan orang awam cedera serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar.

Susulan pengumuman itu, Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Anwar dan mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai untuk menyelaras segala urusan berkaitan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri serta agensi terbabit bagi memastikan kerja itu disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.

Pada Khamis lalu, media melaporkan lebih 50 tetamu kenduri kahwin terjatuh ke dalam sungai apabila titi gantung runtuh.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki akibat terjatuh di atas batu, manakala kanak-kanak cedera di bahagian kepala selain tiga lagi alami luka ringan dan sesak nafas.

Sumber: Harian Metro