Kerja Penanaman Semula Di Tapak Projek Hidroelektrik Tekai Tembeling Sedang Dilaksanakan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Pahang telah menandatangani Perjanjian Penghutanan Semula bersama sebuah syarikat swasta bagi menanam semula kawasan projek Hidroelektrik Tekai Tembeling di Jerantut yang sebelum ini telah dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, kerja-kerja penanaman semula sedang giat dijalankan pada masa ini selepas perjanjian itu itu dilaksanakan pada 25 Mac lalu.

“Untuk makluman, kelulusan Kerajaan Negeri berhubung pembinaan projek ini diperolehi pada 19 Mac 2012. Ini diikuti dengan kelulusan teknikal daripada Suruhanjaya Tenaga pada 2 Julai 2012, kelulusan Detailed Environmental Impact Assessment (DEIA) pada 20 April 2016 dan kelulusan Environmental Management Plan (EMP) pada 27 Disember 2016.

“Saya dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembalakan untuk penyediaan projek ini telah dimulakan seawal tahun 2014. Kerja-kerja ini dilakukan secara berperingkat dan sehingga 2019 seluas 9,896.29 hektar telah diusaha asil bagi projek pembinaan empangan Hidroelektrik Tekai Tembeling.

“Pada 8 November 2019 Kerajaan Persekutuan telah membatalkan Projek Empangan Hidroeletrik Tekai Tembeling. Pemakluman kepada Suruhanjaya Tenaga berhubung pembatalan ini telah dihantar pada 29 November 2019.

“Dimaklumkan juga, pihak TNB turut mengeluarkan surat pemakluman pembatalan projek Empangan Hidro Elektrik ini melalui surat pada 8 Januari 2020,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Justeru beliau ingin menegaskan bahawa pembatalan projek daripada Kerajaan Persekutuan ini adalah selepas lima tahun kerja-kerja persediaan pembinaan empangan dijalankan.

“Jadi semestinya kerja-kerja ini meninggalkan kesan seperti yang digambarkan.
Namun sudah semestinya kerajaan negeri amat komited dalam pemuliharaan hutan yang mendapat kesan akibat pembatalan projek ini termasuk menandatangani Perjanjian Penghutanan Semula ini.

“Kerajaan Pahang sekali lagi ingin menyatakan komitmen terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di negeri Pahang. Kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan pihak-pihak yang terlibat dalam memastikan kelestarian alam sekitar negeri Pahang,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA