Kes Covid-19 di Kelantan Kekal Dua Angka

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Jangkitan penularan Covid-19 di Kelantan kini tidak membimbangkan apabila mencatatkan kes dua angka setiap hari dalam tempoh dua minggu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, walaupun selepas Aidilfitri, kes di negeri ini masih merekodkan dua angka iaitu 46 kes semalam.

Katanya, kes tidak meningkat berikutan rakyat negeri ini termasuk perantau yang pulang pada Aidilfitri sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Selain itu, vaksin juga berkesan untuk mencegah jangkitan Covid-19 daripada terus menular dan menyebabkan kes tidak serius.”

“Imuniti kelompok yang dicapai juga memberi kesan kepada pengurangan kes Covid-19. Namun, kita berharap rakyat terus menjaga diri untuk mengelakkan penularan,” katanya.

Dr Izani berharap kes jangkitan Covid-19 di Kelantan terus menurun sehingga tiada kes yang direkodkan.

Beliau berkata, berikutan tidak banyak kes, bilangan pesakit di hospital juga berkurangan dan saringan hanya dibuat kepada individu yang bergejala sahaja.

“Walaupun kerajaan melonggarkan untuk pemakaian pelitup muka, namun tidak rugi jika kita memakainya untuk mencegah pelbagai penyakit termasuk bawaan udara,” jelasnya.

Mengulas berhubung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Kelantan, Dr Izani berkata, vaksin dalam kanak-kanak negeri ini sangat rendah.

Tambah beliau, ia berikutan ibu bapa yang tidak mahu anak-anak mereka mengambil vaksin termasuk warga emas berikutan kes Covid-19 di Kelantan rendah.

Sumber: HARIAN METRO