Kes Denggi Di Terengganu Turun 90.1 Peratus

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU -Jumlah kumulatif kes demam denggi di negeri ini menurun kepada hanya 37 kes sepanjang 11 bulan pertama tahun ini berbanding 374 kes dalam tempoh sama, tahun sebelumnya.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, pengurangan sebanyak 90.1 peratus itu turut menyaksikan tiada kes jangkitan kematian akibat denggi dilaporkan di negeri ini, setakat Sabtu lalu.

Katanya,  daripada jumlah itu, Kuala Terengganu mencatatkan bilangan kes tertinggi sebanyak 12 kes manakala masing-masing lima kes di Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Nerus di samping Besut dan Dungun pula tiga kes, namun sifar di Setiu.

“Selain itu, hanya dua episod wabak didaftarkan iaitu di Kuala Nerus dan Hulu Terengganu berbanding 23 episod dalam tempoh masa pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, memasuki musim monsun, terdapat beberapa kawasan yang berkemungkinan dilanda banjir dan berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes seperti lopak-lopak air, longkang dan sebagainya, jadi saya minta penduduk setempat mengambil langkah wajar bagi memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Kasemani menyarankan orang ramai agar meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk aktiviti mengesan dan memusnahkan tempat pembiakan aedes di dalam mahu pun luar rumah di samping lokasi tempat kerja.

Katanya, semburan aerosol di kediaman perlu dijalankan di samping mengurangkan aktiviti di luar rumah semasa awal pagi dan lewat petang bagi mengelakkan gigitan nyamuk.

Sumber: TRDI News