Kes HFMD di Pahang Meningkat 6 Kali Ganda

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Sebanyak 1,288 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Pahang sejak awal Januari sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak enam kali ganda berbanding 200 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada 1,288 kes itu, katanya, sebanyak 138 kes atau 10.7 peratus adalah kes yang dikenal pasti hasil daripada penularan yang berlaku di 27 taska, tadika dan prasekolah seluruh Pahang.

“Bagaimanapun, penutupan premis bergantung kepada penilaian risiko yang dibuat oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

“Rawatan diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit seperti jika pesakit demam, antipyretic yang akan diberikan.

“Justeru, pesakit dinasihat untuk minum banyak air kosong untuk mengelakkan dehidrasi sepanjang tempoh jangkitan, mendapatkan rehat secukupnya dan mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, jabatan juga menasihatkan ibu bapa tidak terpedaya dengan promosi rawatan alternatif bagi menyembuhkan HFMD.

Katanya, sebaiknya mendapatkan nasihat yang sahih daripada pegawai perubatan dan anggota kesihatan.

“Berdasarkan pemantauan oleh JKN Pahang trend kes HFMD pada minggu ini masih lagi menunjukkan peningkatan.

“Trend ini dijangka terus meningkat jika langkah pencegahan HFMD tidak diambil oleh ibu bapa dan pengusaha taska, tadika dan prasekolah.

Sehubungan itu, beliau berkata, JKN Pahang menasihati orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan.

Katanya, antara langkah itu ialah mengamalkan kebersihan asas kanak-kanak termasuk amalan mencuci tangan yang betul.

“Sebaiknya mengelakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas dan alat mainan bagi mengelakkan penularan penyakit kepada anak yang lain.

“Jika anak mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD, elakkan membawa ke tempat umum seperti pusat membeli-belah atau menghantar anak ke taska dan tadika.

“Segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan jika anak-anak menunjukkan tanda-tanda jangkitan HFMD.

“Pihak pengusaha taska, tadika dan prasekolah perlu membuat saringan di pintu masuk bagi mengenal pasti kanak-kanak yang dibenarkan hadir tiada tanda-tanda penyakit HFMD,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN