Kes kritikal, Kelantan buka hospital medan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Peningkatan kes COVID-19 di Kelantan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengambil pendekatan membuka hospital medan selain menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Hospital medan akan dibuka di tapak padang perdana, di sini, selain satu lagi PKRC iaitu Kelantan Trade Centre (KTC) yang mampu memuatkan 1,000 pesakit dijangka beroperasi dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata fasiliti di Kelantan sama ada membabitkan peralatan hospital serta PKRC sudah hampir penuh dan dalam keadaan kritikal.

“Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital juga sudah mencecah hampir 100 peratus sehingga pesakit ICU juga terpaksa ditempatkan di wad biasa. Peralatan ventilator sebanyak 60 unit kini hanya berbaki lima unit sahaja dan ia menimbulkan kebimbangan.

“Pada masa sama, PKRC yang sedia ada juga sudah hampir penuh dan hospital medan serta PKRC yang akan dibuka ini hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja. 

“Apabila kita terpaksa membuka hospital medan, ini menunjukkan keadaan di Kelantan semakin kritikal dan pada masa sama kita terpaksa memohon bantuan daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) hari ini. 

Dr Izani berkata, menerusi mesyuarat yang berlangsung selama lebih sejam itu, pihaknya sudah berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan anggaran kos selain Jabatan Kesihatan Negeri akan turun padang melihat lokasi yang dicadangkan itu.

“Kita akan berdepan banyak masalah sekiranya kes semakin meningkat di mana jika lebih banyak PKRC dibuka, semestinya lebih banyak kakitangan Jabatan Kesihatan diperlukan untuk bertugas. 

“Justeru, saya mengajak seluruh rakyat Kelantan supaya memberi kerjasama penuh dalam memutuskan rangkaian COVID-19. 

“Jangan disamakan Kelantan dengan Selangor susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana fasiliti kita tidak sama dengan Selangor,” katanya.

SUMBER: Berita Harian