Keselamatan vaksin Covid-19 terjamin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Temerloh: Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan menjaga rapi kumpulan pertama vaksin Covid-19 agar tidak dicuri dan diceroboh pihak yang berniat jahat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, beliau juga memberi jaminan 312,390 dos vaksin Pfizer BioNTech itu tidak terdedah kepada perkara yang boleh memudaratkan penerima vaksin.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sudah diberikan tugas untuk memantau setiap pergerakan vaksin tersebut.

“Pastinya apabila vaksin sampai ke negara kita, keselamatannya dijaga dan terjamin. Nak curi, nak ceroboh agak susah kerana polis, tentera, Rela sentiasa ada memantau.

“Dari segi keselamatan vaksin, saya beri jaminan MKN bersama KKM akan pastikan bahawa vaksin itu agar tidak terdedah kepada perkara yang memudarat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas misi memberi sumbangan bantuan dan ziarah mangsa banjir anjuran MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB) di Kuala Krau di sini, kelmarin.

Hari ini, kumpulan pertama vaksin Covid-19 selamat diterbangkan ke Malaysia.

Sementara itu, MAAB menyerahkan sumbangan sebanyak RM12,000 kepada Dr Ismail untuk diagihkan kepada penghuni 40 buah rumah yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini sebanyak RM3 juta sudah disalurkan pihaknya kepada 45,000 orang kumpulan sasar.

“Antara kumpulan sasar tersebut adalah penduduk terjejas banjir, petugas barisan hadapan dan pelajar sekolah daripada keluarga yang berpendapatan rendah serta pelajar sekolah yang akan menduduki peperiksaan,” katanya.

Sumber: My Metro