Keutamaan MARA Naik Taraf 55 MRSM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SHAH ALAM – Tiada cadangan untuk memperkenalkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar sehingga ini.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sebaliknya perhatian diberikan kepada usaha untuk menambah baik infrastruktur di 55 MRSM seluruh negara pada masa ini.

“Kita belum ada apa-apa inisiatif secara serius (memerkenalkan MRSM berbayar) kerana isu utamanya adalah bagaimana kita nak menyantuni kehendak alumni Ansara (Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia) yang kini mencecah 225,000.

“Buat masa ini memang kita menangguhkan pembangunan MRSM yang baharu dan akan menumpukan kepada 55 sedia ada dengan dua akan mula beroperasi hujung tahun ini.

“Apa yang kita nak fokus adalah tambah baik infrastruktur sedia ada,” katanya kepada media selepas hadir program Hari MARA Bersama Rakyat dan Jelajah Pendidikan Luar Bandar di sini hari ini.

Pada Mac lalu, Asyraf Wajdi mencetuskan idea diwujudkan MRSM berbayar yang khusus untuk masyarakat elit berpendapatan tinggi yang boleh diuruskan oleh Kumpulan Mara Corporation (Mara Corp).

Katanya, cadangan itu adalah hasil pandangan yang diperoleh daripada ramai pihak.

Asyraf Wajdi berkata, MRSM berbayar itu boleh diuruskan oleh Kumpulan Mara Corporation (Mara Corp).

– BERITA HARIAN