KUALA TERENGGANU – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited membantu usahawan desa mendigitalkan perniagaan mereka melalui peruntukan RM1.7 juta untuk tujuh siri Program Pendigitalan Usahawan pada tahun ini sekaligus mampu memanfaatkan seramai 1,000 usahawan desa untuk beralih kepada pendigitalan menjelang akhir tahun ini.
Program yang menyasarkan seribu usahawan desa ini memberi pendedahan secara langsung dan praktikal dalam memasarkan produk secara dalam talian melalui platform e-Dagang.
Modul latihan program Pendigitalan Usahawan Desa ini merangkumi pendigitalan,penyediaan kunci kira-kira, pengurusan stok di gudang dan di kedai, pengurusan gerbang pembayaran, akses internet yang optimum dan kemahiran lain berkaitan perniagaan.
Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KKDW, Abdul Kahar Abdullah berkata,inisiatif melalui platform Desamall ini adalah strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar Membangun Produk dan Memperluaskan Pasaran Termasuk Perniagaan Dalam Talian (E-Commerce).
“Program Desamall akan ditambah baik dari semasa ke semasa demi membantu usahawan desa memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e_Dagang dan dalam masa yang sama mendorong mereka beralih dari cara perniagaan tradisional (offline) kepada pemasaran secara dalam talian (online) melalui platform digital”.
KKDW juga menyediakan pelbagai program keusahawanan bagi membantu usahawan kecil menjalankan perniagaan dalam talian melalui platform e-dagang, memahami kebolehanpasaran produk dan khidmat dalam strategi penjenamaan.”
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Pendigitalan Usahawan Desa Siri 3/2023 di Kuala Terengganu pada Ahad
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW, Mohd Sabri Ramly dan Pengarah Urusan Syarikat eLokal dan Pentadbir Desamall, Ahmad Shah Wahid.
Selain agensi-agensi KKDW dan rakan-rakan strategik Program Desamall seperti Rural Capital Berhad, CELCOMDIGI, Shopee, MaybankQR & Sama-sama Lokal, Halal Development Corporation (HDC), BoostBiz, Bank Simpanan Nasional (BSN), Lazada, Maxis, Mesinkira, Fasspay, Bank Islam dan PETRON.
Program ini turut dibantu dengan penyertaan TikTok Malaysia, Troopers, Peasy, dan IPvolusi yang pertama kali menyertai Program Pendigitalan Usahawan Desa ini.
Beliau menambah era pendigitalan kini menggunakan kuasa kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) dalam mencipta kempen pemasaran secara peribadi (Personalized Marketing Campaign) melalui pengumpulan dan analisa data pelanggan seperti demografi, pilihan dan tingkah laku bagi mencipta kempen pemasaran yang bersasar kepada pelanggan.
“Algoritma AI kini mampu mengesyorkan kandungan yang disesuaikan khas kepada pelanggan berdasarkan sejarah pencarian dan penggunaan internet pengguna.
Dengan perkembangan digital yang pesat ini, Program Pendigitalan 7 Usahawan yang dilaksanakan oleh Kementerian turut mengambilkira aspek berkenaan dalam memastikan usahawan secara khususnya dapat menggunakan kelebihan ini dalam menambahbaik operasi perniagaan bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan”, ujar beliau lagi.
Program Pendigitalan Usahawan Desa, KKDW siri 3/2023 di Kuala Terengganu ini disertai hampir 500 usahawan desa dari Negeri Terengganu.
Siri pertama program diadakan Februari lalu di Putrajaya dengan penyertaan seramai 185 usahawan manakala pada siri kedua yang diadakan pada bulan Jun yang lepas seramai 369 usahawan telah menyertai program ini.
Sehingga kini seramai 1,260 usahawan desa telah beralih kepada pendigitalan hasil usaha yang dilaksanakan oleh KKDW dari tahun 2022 dalam meningkatkan pendapatan usahawan desa.
Sehingga 30 Jun 2023, jumlah jualan terkumpul melalui program Desamall adalah sebanyak RM5.699 juta dan Stock Keeping Unit (SKU) sebanyak 28,294 di semua platform eDagang. Manakala, seramai 4,559 usahawan desa menyertai program Desamall dan memasarkan produk secara dalam talian di platform e-Dagang.
Tambah Abdul Kahar lagi, program ini menyokong fokus utama agenda EKONOMIMADANI sebagai salah satu strategi mencapai tumpuan agenda tersebut iaitu menjadipeneraju ekonomi Asia yang mampu dicapai sebelum tempoh 10 tahun.
Selain itu, usahawan yang terlibat telah berupaya menambahbaik operasi perniagaan serta sedikit sebanyak dapat mengembangkan perniagaan dan meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengurusan perniagaan.
Perkembangan positif ini dapat direalisasikan melalui pendedahan dan latihan mengenai aplikasi digital perniagaan terkini dan bantuan-bantuan berkaitan pendigitalan perniagaan yang telah diberikan oleh KKDW dan rakan-rakan strategik yang terlibat.
Sehingga kini, lebih 60,000 usahawan berada di bawah ekosistem KKDW.
– UNIT BERITA MANIS FM