Klinik Kesihatan Kuala Tekal Selari Konsep Keluarga Malaysia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH : Pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tekal yang baharu selari dengan tiga teras utama di dalam konsep Keluarga Malaysia.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembinaan klinik baharu ini dapat menampung jumlah bilangan pesakit yang bertambah di kawasan berkenaan.

“Saya difahamkan sejak Klinik Kesihatan Kuala Tekal dibuka pada 1 Julai lalu, bilangan pesakit yang datang turut bertambah bukan sahaja dari Kampung Kuala Tekal sendiri malahan dari kawasan kampung yang berdekatan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia, diharapkan dengan pembinaan klinik ini mampu untuk menempa sejarah yang gemilang dalam perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Jenis 7 Dengan Kuarters Kuala Tekal, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia 1, YB. Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Ghazali; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Jenderak, YB. Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kerdau, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.

Menurut beliau pembinaan klinik baharu ini juga dapat mengelakkan masalah fasiliti ini dinaiki banjir yang sering dihadapi sebelum ini.

“Dengan pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tekal ini, masalah banjir yang sering dihadapi semasa ia beroperasi di Klinik Desa Kuala Tekal juga dapat diatasi.

“Pembinaan Klinik Jenis 7 ini adalah untuk memberi liputan perkhidmatan kepada penduduk kurang daripada 5,000 orang khususnya di kawasan Kerdau ini,” katanya.

Klinik Kesihatan Kuala Tekal yang bernilai RM4.7 juta ini mula dibina pada 30 Januari 2019 dengan jumlah penjawatan seramai 23 orang dan pengisian seramai 16 anggota.

Fasiliti baharu ini juga menyediakan perkhidmatan kesihatan meliputi perkhidmatan klinik pesakit luar, perkhidmatan klinik ibu dan anak, perkhidmatan kecemasan dan atas panggilan, serta perkhidmatan farmasi.

Sumber: PAHANGMEDIA