Klopp Yakin ke Final Musim Depan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PARIS – Jurgen Klopp bertekad Liverpool akan kembali lebih kuat musim depan dan berkata penyokong boleh terus menempah hotel bagi aksi final Liga Juara-Juara di Istanbul musim depan.

Liverpool dinafikan kejuaraan ketujuh oleh Real Madrid yang melebarkan rekod sebagai juara Eropah buat kali ke-14 selepas kemenangan 1-0 di Stade de France, Paris.

Perlawanan bermula lewat 37 minit akibat masalah keselamatan di luar stadium.

Anak buah Klopp gagal membolosi gawang Real yang dikawal ketat pemain terbaik perlawanan Thibaut Courtois.

Gol tunggal skuad kendalian Carlo Ancelotti dijaringkan Vinicius Junior pada minit ke-59.

“Mara ke final juga satu kejayaan, walaupun ia bukan kejayaan yang anda harapkan. Saya yakin kami akan kembali.

“Pemain-pemain amat berdaya saing dan mereka adalah kumpulan yang hebat – mereka akan mencubanya lagi musim depan. Di mana ia musim depan? Istanbul? Tempah hotel!” kata Klopp.

Klopp dan anak buahnya pulang ke Liverpool hari ini dan akan tetap meneruskan perarakan di sekeliling kota bagi meraikan Piala Liga dan Piala FA yang diraih musim ini.

Sementara itu Klopp berkata, keluarga kakitangan dan pemain Liverpool terkandas di luar stadium sebelum sepak mula.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menyalahkan kewujudan tiket palsu yang menyebakan pagar masuk tidak berfungsi sehingga menyebabkan kesesakan.

Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan penyokong.

Sumber: BERITA HARIAN