Kluster Pangkal Changgong meningkat kepada 64 orang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Seramai tujuh orang lagi disahkan positif COVID-19 hari ini selepas menjalani ujian saringan susulan menjadi kontak rapat kepada 57 individu termasuk 41 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah asrama di Machang yang disahkan positif COVID-19 semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata seramai 259 individu yang disaring itu membabitkan pelajar dan ibu bapa yang menjadi kontak rapat kepada individu disahkan positif wabak itu.

Beliau berkata, susulan tujuh lagi positif COVID-19 itu, jumlah mereka yang disahkan positif COVID-19 bagi Kluster Pangkal Changgong setakat ini meningkat kepada 64 orang.

“Jangkitan wabak ini berpunca daripada komuniti yang mungkin ada di antara mereka berhubung rapat dengan individu positif COVID-19 sebelum pelajar ini dibenarkan masuk ke asrama untuk menjalani Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sebagai persediaan menduduki peperiksaan SPM.

“Bagaimanapun, kita tidak perlu bimbang kerana wabak ini terkawal kerana pelajar berada dalam satu asrama yang juga tempat tertutup, selain mereka juga sudah dikuarantin sejak dibenarkan pulang ke asrama dan tidak mempunyai kontak dengan orang luar,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, semua pelajar itu dibawa ke pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) selepas disahkan positif COVID-19.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kes calon SPM berkenaan yang disahkan positif COVID-19 adalah kontak kepada Kluster Pangkal Changgong yang membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Kluster Pangkal Changgong adalah kluster membabitkan sebuah pusat pengajian di Pangkal Changgong dan tiga daerah terkesan dengan kluster itu setakat ini.

Kes daripada kluster berkenaan mula dikesan pada 10 Februari lalu hasil saringan individu bergejala membabitkan seorang pelajar perempuan.

Sumber : Berita Harian