Konflik Manusia-Harimau Bukan Disebabkan Pembalakan – JPNK

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Machang: Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) tidak mahu orang ramai memanipulasi kemunculan harimau di perkampungan Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang sejak awal Januari ini berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

Pengarah JPNK Abdul Khalim Abu Samah berkata, semakan yang dibuat pihaknya mendapati lokasi berkenaan adalah kawasan penempatan Orang Asli dari suku kaum Temiar dan berada di luar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), namun dikelilingi HSK Perias.

Katanya, sebahagian besar HSK Perias adalah hutan pengeluaran dan terdapat beberapa kawasan pembangunan ladang hutan (bekas lesen) di sepanjang laluan ke Pos Bihai yang sudah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan (Hutan Tadahan Air) oleh Kerajaan Negeri pada 2019.

“Pada minggu lalu, saya juga sudah menghantar laporan lengkap mengenai isu pembalakan yang dikaitkan dengan serangan harimau di Gua Musang kepada ibu pejabat Jabatan Perhutanan untuk mendapatkan lebih perincian.

“Pada masa sama, kawasan serangan harimau yang berlaku sehingga menyebabkan lelaki Orang Asli mati dibaham binatang berkenaan juga berada pada jarak antara lima hingga enam kilometer dari kawasan pembalakan,” katanya.

ABDUL Khalim (kanan) pada Majlis Perasmian Dataran Dato Bentara Kanan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Taman Eko-Rimba, Bukit Bakar. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ABDUL Khalim (kanan) pada Majlis Perasmian Dataran Dato Bentara Kanan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Taman Eko-Rimba, Bukit Bakar. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Dataran Dato Bentara Kanan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Taman Eko-Rimba, Bukit Bakar, di sini, hari ini.

Terdahulu, satu imej kesan daripada aktiviti pembalakan hutan dirakam dron aktivis alam sekitar didakwa sebagai habitat harimau yang terletak berdekatan dengan perkampungan orang asli di Pos Bihai, Gua Musang.

Imej daripada dron milik Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) itu dirakam semasa tinjauan pihak itu di lokasi berkenaan pada Isnin sehingga Jumaat lalu.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan menafikan aktiviti pembalakan menjadi faktor harimau belang masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang sejak kebelakangan ini.

Dalam kejadian 7 Januari lalu, lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Anek Along ketika kejadian sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah pada 9.10 pagi.

Susulan serangan berkenaan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan melancarkan pemantauan dan kawalan di perkampungan berkenaan selain turut memasang perangkap berkamera iaitu di Kampung Tendrik dan Kampung Hak.

Mengulas lanjut, Abdul Khalim berkata, menerusi kajian dilakukan pakar mendapati apabila ada kawasan pembalakan, populasi harimau akan bertambah disebabkan anak pokok balak menarik haiwan kecil seperti kancil.

Sumber: My Metro