KOPETRO Santuni Anggota Koperasi di Kertih

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KERTIH – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) mengadakan sebuah majlis sambutan Hari Raya bertemakan ‘Raya Bersama’ di Kelab Golf dan Rekreasi PETRONAS, di sini, hari ini. Majlis Aidilfitri di kawasan ini adalah pembuka tirai jelajah sambutan hari raya anjuran KOPETRO yang diadakan bagi menyantuni anggota koperasi tersebut sempena bulan Syawal ini.

Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim berkata matlamat utama majlis rumah terbuka ini diadakan adalah bagi menguatkan ukhuwah dan kebersamaan di antara pihak pengurusan koperasi dengan anggota-anggota KOPETRO di Kertih dalam menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

“Melalui konsep ‘Raya Bersama’ tahun ini, KOPETRO ingin menyuntik semangat kemasyarakatan dengan mengalu-alukan persamaan, meraikan kepelbagaian dan menghargai perbezaan antara kita,” ujar beliau dalam ucapannya di majlis tersebut.

Tambah beliau, program-program yang diadakan seperti majlis Aidilfitri ini juga merupakan salah satu cara untuk pihak pengurusan koperasi menarik lebih ramai kakitangan PETRONAS untuk mendaftar dan menjadi anggota KOPETRO, memandangkan faedah yang ditawarkan adalah kompetitif dan sentiasa mendahulukan kebajikan para anggota.

Rumah terbuka anjuran KOPETRO di Kertih ini berlangsung pada jam 12 tengah hari sehingga 4 petang, dan dihadiri lebih 300 orang tetamu yang terdiri daripada anggota-anggota dan rakan-rakan niaga koperasi tersebut. Pengunjung dijamu dengan aneka juadah Aidilfitri dan menu tempatan seperti Nasi Impit, Lemang, Rendang Ayam, dan Nasi Hujan Panas dengan Ayam Masak Merah.

Majlis Aidilfitri KOPETRO ini juga akan diadakan di beberapa lokasi lain selepas ini iaitu di Kuala Lumpur pada 11 Mei 2023, selain di Bangi, Selangor bersempena Majlis Perasmian Cawangan Kedua perkhidmatan pajak gadai patuh syariah, ArRahnuKita, pada 12 Mei 2023 dan juga di Melaka pada 16 Mei 2023.

Selain meraikan anggota koperasi, majlis hari raya ini juga turut disertai pelanggan-pelanggan hotel Singgah Kertih. Singgah Kertih adalah hotel pertama milik KOPETRO, diuruskan sepenuhnya oleh anak syarikat mereka, KOPETRO Hotel & Resorts Sdn. Bhd. (KHR). Selain menguruskan hotel milik mereka, KHR turut menawarkan perkhidmatan nasihat dan khidmat pengurusan hotel bagi mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan perhotelan.

Untuk membuat tempahan segera bagi pakej penginapan dari Singgah, anda boleh layari laman web www.singgah.com.my. Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, sila hubungi 09-8250111 (Kertih). Anda juga boleh mengikuti @singgahkertih di Facebook dan Instagram.

– UNIT BERITA MANIS FM