Kosmetik tidak bernotifikasi, ubat tidak berdaftar punca organ dalaman rosak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Sepanjang tahun ini, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Kelantan merampas pelbagai jenis ubat-ubatan tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan produk kesihatan yang dicemari racun berjadual bernilai RM1.8 juta.

Terbaru, serbuan dijalankan di empat premis menjual produk terbabit di sekitar daerah ini semalam.

Ia membabitkan rampasan 313 perkara bernilai lebih RM720,000.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia membabitkan 293 produk tidak berdaftar, lapan kosmetik tidak bernotifikasi, empat produk disyaki mengandungi racun berjadual dan lapan peranti digital dipercayai digunakan bagi penjualan secara dalam talian.

“Penggunaan ubat tidak berdaftar boleh memberi pelbagai kesan buruk seperti kerosakan buah pinggang dan organ dalaman kerana berkemungkinan ia dicemari bahan terlarang selain tidak mengikut sukatan yang bersesuaian bagi menghasilkan produk.

“Kosmetik yang tidak bernotifikasi pula mendedahkan pengguna kepada kosmetik yang dicemari racun berjadual seperti merkuri, tretinoin dan hydroquinone.

“Penggunaan racun berjadual ini tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan kulit menjadi kemerahan, hipersensitif dan meningkatkan risiko barah kulit,” katanya pada kenyataan hari ini.

Dr Zaini berkata, penjual dan pengedar produk tidak berdaftar serta kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu diberi amaran supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk dengan serta-merta.

Kata beliau, individu yang disabitkan kesalahan mengikut peraturan itu boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua, individu terbabit boleh dijatuhi denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat, denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan seterusnya boleh dikenakan.

“Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati membuat pembelian secara dalam talian memandangkan semua produk mudah didapati menerusi platform itu tanpa membuat pemeriksaan lanjut.

“Produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran yang bermula dengan abjad ‘MAL’ dan pelekat label hologram FarmaTag pada bungkusannya manakala nombor notifikasi kosmetik pula tidak wajib dipamerkan pada label,” katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, semakan boleh dibuat di laman web rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan semua pembekalan ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual (Ubat Terkawal) pula adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 yang mana ia hanya boleh dikendalikan oleh pengamal perubatan berdaftar serta ahli farmasi berlesen sahaja.

Pengguna boleh membuat semakan dengan melayari https://www.npra.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui aplikasi Play Store, App Store dan Huawei App Gallery.

Aduan dan maklumat berkaitan produk dan kosmetik yang meragukan boleh disalurkan kepada portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) di https://moh.spab.gov.my atau hubungi cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Kelantan di talian 09-7730586.

Sumber: My Metro