SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

KPKT sedia bimbing MBK

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) merupakan kejayaan kepada usaha kerajaan memperkasakan perkhidmatan dan meningkatkan pembangunan di daerah berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya bersedia membantu dan membimbing MBK bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran, kemudahan sosioekonomi dan rekreasi berkualiti bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Beliau turut menyeru MBK mempersiapkan langkah strategik untuk mendepani cabaran semasa dan menggalas tanggungjawab yang diberikan bagi menghadapi cabaran yang semakin kompleks seiring perkembangan Revolusi Perindustrian ke-4 (IR4.0)

Selain itu, beliau menyarankan MBK serta pihak berkuasa tempatan (PBT) lain melaksanakan pengurusan kewangan secara lebih cekap, berintegriti dan berakauntabiliti di samping sentiasa kreatif dalam menjana sumber pendapatan baharu.

Beliau berkata demikian sempena majlis pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kompleks Bandaraya Kuantan di sini, hari ini.

Baginda juga memperkenan lantikan Yang Dipertua MPK Datuk Hamdan Hussin sebagai Datuk Bandar pertama.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, status sebagai bandar raya membolehkan ia menjadi hub bagi pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur selain disifatkan tepat pada masanya.

Ini berdasarkan kepada projek pembangunan yang sudah dan sedang dilaksanakan di Kuantan termasuk pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah yang bakal menjadi pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri menggantikan Wisma Sri Pahang yang mula digunakan sejak 1970.

“Beberapa perancangan baharu seperti meningkatkan kawasan perindustrian Gebeng dan tarikan baharu dalam bidang pelancongan juga akan menarik lebih ramai peniaga dan pelancong ke bandar raya pertama di Pahang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berharap pihak berkuasa dan rakyat Kuantan memperbaharui tekad terhadap matlamat pembangunan lestari dalam semua perancangan bagi memastikan Kuantan terus berkembang maju tanpa menjejaskan aspek keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

Sumber: My Metro