KTMB: Koc Ekspress Rakyat Timuran disanitasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Koc T6 Ekspress Rakyat Timuran (ERT) 26 yang bergerak dari Stesen Johor Bahru Sentral ke Tumpat pada 10 November lalu telah menjalani proses sanitasi selepas salah seorang penumpangnya disahkan Covid-19.

Ketua Komunikasi Strategik Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ahmad ‘Asri Khalbi berkata, pihaknya juga sudah menyerahkan maklumat berkaitan penumpang yang menggunakan koc berkenaan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan susulan.

“KKM memaklumkan hanya enam penumpang yang berada di dalam koc itu diklasifikasikan sebagai kontak rapat kepada individu tersebut (Covid-19),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, KTMB berharap enam lagi penumpang tersebut segera menghubungi KKM bagi memastikan langkah-langkah pencegahan penularan pandemik itu dapat dilakukan.

Beliau berkata, proses sanitasi itu dilakukan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Ahmad ‘Asri berkata, ia sekali gus dapat mengekang risiko jangkitan kepada penumpang lain.

Katanya, KTMB turut menasihatkan para pengguna perkhidmatannya agar tidak panik atau takut untuk menggunakan pengangkutan awam itu.

“Kami sentiasa menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian pandemik itu.

“Penumpang dinasihatkan untuk sentiasa amalkan SOP yang betul dan memakai pelitup muka sepanjang berada di platform dan di dalam tren,” katanya.