SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

KWSP akan lancar i-Sayang tahun depan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melancarkan kemudahan i-Sayang pada suku pertama 2022, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, kemudahan itu akan membolehkan pemindahan sukarela dua peratus caruman KWSP daripada akaun suami ke akaun isteri.

Katanya, satu lagi kemudahan dana persaraan yang akan dilancarkan ialah i-Lindung, yang membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 untuk membeli insurans hayat dan penyakit kritikal melalui platform KWSP.

“Inisiatif lain yang kami tinjau termasuk pendekatan berperingkat ke arah mewajibkan perlindungan KWSP yang sah kepada pekerja sektor tidak formal bukan pertanian.

“Kami juga akan menyokong skim caruman lebihan sukarela yang mana ahli boleh memaksa majikan meningkatkan caruman KWSP mereka kepada lebih daripada 11 peratus kadar berkanun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 yang diadakan secara maya dan fizikal hari ini.

Persidangan selama dua hari itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengenai persidangan itu, Ahmad Badri berkata, ISWC tahun ini bertujuan untuk mengetengahkan pelbagai aspek isu ketaksamaan global.

“Bersama-sama, kami percaya rangka kerja perlindungan sosial lebih baik boleh membantu kami dalam meminimumkan, jika tidak membasmi, kesan negatifnya kepada manusia,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam ucapan awalnya berkata, antara perkara paling membimbangkan akibat pandemik ini ialah peningkatan isu ketaksamaan.

“Isu ketaksamaan ini wujud awal sebelum berlakunya pandemik. Walaupun banyak negara cuba mengurangkan impak COVID-19 dengan menggerakkan pelbagai sumber secara intensif dan berjangka pendek, usaha ini untuk sementara waktu dan tidak memberikan penyelesaian jangka panjang yang berupaya memelihara hayat dan kehidupan masyarakat.

“Oleh itu, ISWC tahun ini dinaik taraf, menyaksikan penganjur yang juga kuasa berpengaruh dalam negara, berkumpul bersama-sama barisan penceramah yang ternama bagi menyelami isu berkaitan ketaksamaan, termasuk dari aspek ekonomi, penjagaan kesihatan, dan pendidikan,” katanya.

ISWC 2021 dianjurkan secara bersama oleh KWSP, Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual menutup persidangan ini esok.

Sumber: Berita Harian