Lari tinggalkan lori penuh buluh curi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Raub: Cubaan dua lelaki tempatan memindahkan 1,000 batang buluh jenis beting secara haram gagal selepas kegiatan itu dikesan Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, semalam.

Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, pihaknya melakukan rondaan di Jalan Raub-Sungai Koyan bermula jam 5 pagi bagi mengesan kegiatan berkenaan.

Menurutnya, selepas empat jam melakukan rondaan, pasukan UTK dibantu anggota Pejabat Renjer Tersang terserempak dengan lori dengan nombor pendaftaran Perak yang membawa muatan buluh dipercayai tanpa permit memindah hasil hutan.

“Selepas mengetahui kenderaan mereka diekori, pemandu memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan melarikan diri bersama pembantu ke ladang kelapa sawit di Kilometer 17, Jalan Raub-Sungai Koyan.

“Usaha mengesan dua lelaki berkenaan gagal, kita bertindak menyita lori terbabit dan ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Batu 18, Tersang,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Shahril berkata, pihaknya akan berusaha mengesan dua lelaki terbabit dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Shahril berkata, buluh berkenaan dipercayai untuk kegunaan dalam sektor pertanian untuk membina junjung dan pancang.

“PHD Raub akan terus melakukan pemeriksaan dan sekatan jalan raya bagi mengesan kegiatan memindahkan hasil hutan seperti balak dan buluh tanpa kebenaran,” katanya.

Sumber: My Metro