SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Lebih 30 Kerbau Mowgli Malaysia Mati Mengejut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Lebih 30 daripada 110 kerbau milik Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ mati secara tiba-tiba sejak Rabu lalu. Tinjauan ke kandang kerbau di Kampung Banggol Katong itu mendapati beberapa kerbau mati bergelimpangan di dalam kandang.

Muhammad Syukur berkata, dia terkejut apabila mendapati kerbaunya mati secara tiba-tiba sejak Rabu lalu.

Pada mulanya hanya seekor yang mati pada Rabu tanpa sebarang tanda kematian dan disangka penyakit biasa. Keesokan harinya, seekor lagi yang mati sebelum dua ekor pada Jumaat, empat ekor pada Sabtu dan 11 ekor pada Ahad. Hari ini sahaja 10 ekor mati dan dijangka lebih lima ekor lagi yang akan mati kerana sebab yang sama.

Katanya, dia sangat sedih dengan kejadian itu, malah semua ahli keluarga sedang bersedih.

Kerbau itu diternak lebih 50 tahun, justeru pasti membuatkan kami bersedih terutama ayah, Khamis Jusoh (64). Ayah yang paling sedih dengan kejadian itu… ia pertama kali berlaku dan dibimbangi semua kerbau akan mati. Kerbau kesayangan saya iaitu Samek dan Along setakat ini masih dalam keadaan baik dan sudah disuntik vaksin pencegahan.

Sementara itu, Khamis berkata, dia bersama keluarga buntu memikirkan penyakit yang menular itu sehingga menyebabkan kematian kerbau secara mengejut.

Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu sudah datang dan membuat siasatan punca kematian kerbau. Berkemungkinan besar ia mati kerana penyakit hawar berdarah bagaimanapun keputusan ke atas pemeriksaan itu akan diperoleh dua minggu lagi. Kerbau yang mati itu hanya mengalami selsema tanpa menunjukkan tanda-tanda diserang penyakit.

Menurutnya, dianggarkan hampir RM200,000 kerugian yang dialami susulan kematian lebih 30 kerbau itu. Terdahulu gambar kerbau Muhammad Syukur yang mati dikongsikan Dallah Deen di Facebok dan menjadi tular. Sementara itu Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi kata-kata perangsang kepada Muhammad Syukur dan bapanya supaya tabah dengan ujian yang melanda mereka sekeluarga.

Kepada anakanda Muhammad Syukur sekeluarga, banyakkan bersabar… sedih itu hal yang biasa namun usah terlalu bersedih kerana ia adalah putaran biasa kehidupan makhluk Allah,” katanya menerusi laman sosial Facebook rasmi miliknya.

Netizen juga memberikan kata-kata semangat kepada Muhammad Syukur dan berharap wabak tidak akan menjejaskan ternakan lain.

Sumber: Berita Harian

Terkini | Popular