
KUALA LUMPUR: Pertembungan hangat Derbi Lembah Klang antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC, berakhir tanpa jaringan apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Permulaan perlawanan menyaksikan Selangor tampil lebih menguasai permainan, namun KL City hampir mencipta kejutan pada minit ke-25 menerusi peluang keemasan daripada Victor Abril, hasil hantaran kemas Nicolao Manuel namun sepakan Victor dari sebelah kiri padang sedikit tersasar daripada gawang tuan rumah.
Pada penghujung babak pertama, penjaga gol Selangor Sikh Izhan Nazrel menjadi benteng terakhir yang sukar ditembusi KL City, apabila berjaya menafikan percubaan Muhammad Safawi Rashid hasil sepakan penjuru untuk mengekalkan kedudukan tanpa jaringan 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Sebaik babak kedua dimulakan, kedua-dua pasukan jelas beraksi dengan terdesak untuk mencari jaringan, apabila menyaksikan beberapa insiden fizikal berlaku termasuk pertembungan antara pemain pertahanan Selangor Richmond Ankrah dan Safawi pada minit ke-66.
Walau bagaimanapun, tiada jaringan berjaya dihasilkan dengan ketika waktu kecederaan babak kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha dengan pelbagai taktikal serangan namun perlawanan tetap berakhir tanpa sebarang jaringan.
Sumber: Bernama





