SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

Lima jam selamatkan tapir jatuh longkang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Pasukan penyelamat mengambil masa lima jam untuk mengeluarkan seekor tapir jantan yang terjatuh dalam longkang di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Soi, di sini, pada Khamis.

Operasi menyelamat haiwan itu dilakukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Tapir seberat 300 kilogram itu terjatuh ke longkang dan disedari orang awam yang kemudiannya menghubungi APM Kuantan.

Pegawai APM Kuantan, Kapten (PA) Zaubidah Said berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.58 pagi.

Katanya, seorang pegawai dan enam anggota APM Kuantan bergegas ke tempat kejadian untuk operasi mengeluarkan haiwan terbabit.

“Pada awalnya tempoh 30 minit dilakukan untuk mengeluarkan tapir itu tetapi gagal sebelum meminta bantuan Perhilitan.

“Operasi mengambil masa lima jam untuk mengeluarkan tapir yang dianggarkan seberat 300 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, haiwan terbabit mengalami luka di badan akibat pergerakannya di dalam longkang.

Bagaimanapun, katanya, haiwan itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius akibat terjatuh.

“Perhilitan akan merawat luka itu dan jika tidak serius, tapir itu akan dilepaskan ke dalam hutan.

“Difahamkan, tapir itu terjatuh ke dalam longkang kerana hilang keseimbangan ketika makan daun nangka,” katanya.

Sumber: My Metro