
Semuanya bermula selepas satu video tular menunjukkan wanita itu mengamuk dan memarahi kanak-kanak yang tengah bermain bising di kawasan terminal.
Gara-gara kejadian tu, barulah rahsia terbongkar yang dia sebenarnya dah lama ‘berkampung’ kat situ.
Rupa-rupanya, dia menjadikan KLIA macam rumah sendiri untuk tidur, mandi, siap guna segala kemudahan awam macam air dan WiFi percuma kat situ.
Dalam video tu juga, korang boleh nampak dia ada banyak beg dan barang peribadi yang diletakkan di kawasan tersebut.
Memetik laporan Buletin TV3, Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Albany Hamzah mengesahkan bahawa pihaknya telah menahan seorang wanita berusia lingkungan 40-an berikutan satu kekecohan yang berlaku di terminal berkenaan pada 18 Disember lalu.
Siasatan mendapati wanita yang mendiami Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu merupakan seorang warga tempatan.
Selain itu, pihak polis turut mengesahkan bahawa individu terbabit memiliki kad rujukan masalah kesihatan mental.
“Kekecohan berlaku di lokasi membabitkan wanita berkenaan dengan beberapa individu lain dan anggota bertugas ke lokasi untuk tindakan lanjut sebelum wanita itu dibawa ke balai polis.
“Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu mempunyai kad masalah mental dan mengambil kira perkara itu polis kemudian menghantar individu terbabit ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa langkah itu perlu diambil supaya keselamatan orang awam dan wanita itu sendiri lebih terjamin.
Setakat ini, pihak berkuasa masih tidak dapat memberi kepastian sudah berapa lama sebenarnya dia ‘berkampung’ di lapangan terbang tersebut.
“Kita tiada maklumat berhubung perkara itu dan tindakan diambil selepas berlaku kekecohan itu. Setakat ini juga polis tidak membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan wanita itu diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber : The Vocket




