SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

MAFI bantu pasarkan 11,000 tan metrik pertanian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu memasarkan 11,000 tan metrik hasil pertanian membabitkan nilai khidmat pemasaran sejumlah RM38.22 juta di seluruh negara bermula 25 Mei sehingga 29 Julai 2021.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, semua hasil pertanian yang dipasarkan oleh FAMA dibawa ke kawasan yang memerlukan selain diguna sebagai produk sumbangan dalam program MAFI Prihatin.

Katanya, inisiatif berkenaan secara tidak langsung dapat membantu golongan petani yang berhadapan masalah lambakan sayur-sayuran sebagaimana berlaku kepada pengusahaan timun yang dilaporkan di akhbar baru-baru ini.

“Pada dasarnya, FAMA telah membantu petani ini memasarkan hasil tanaman mereka selain turut diberi tempat secara percuma di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, untuk menjual sendiri hasil timun terbabit.

“Selain itu, mereka yang berada dalam sektor agro makanan diseru untuk mendaftar di bawah agensi atau jabatan berkaitan pada peringkat awal supaya pihak kementerian dapat membantu jika ada masalah terutamadari segi pemasaran.

CHE Abdullah (dua kanan) melihat lambakan timun yang diusahakan oleh Nik Izani Nik Yaakub, 46 (kanan) ketika lawatannya di Kampung Pulai, Mukim Chicha Tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CHE Abdullah (dua kanan) melihat lambakan timun yang diusahakan oleh Nik Izani Nik Yaakub, 46 (kanan) ketika lawatannya di Kampung Pulai, Mukim Chicha Tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Buktinya, program MAFI Prihatin juga antara inisiatif serampang dua mata yang dapat membantu petani memasarkan lambakan tanaman selain memberi pendapatan kepada mereka yang terjejas dengan Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas melawat kebun timun di Kampung Pulai, Mukim Chicha Tinggi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah FAMA Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad, dan Penasihat Kompleks Pemasaran FAMA Kelantan, Mohd Ariffin Awang.

Che Abdullah berkata, di Kelantan sebanyak 2,500 tan matrik hasil pertanian dipasarkan membabitkan nilai RM2.4 juta dalam tempoh sama.

Jelasnya, pengusaha kebun yang terkesan juga mengakui berpuas hati dengan bantuan FAMA selain bersedia untuk terus memulakan tanaman baru selepas ini dengan lebih tersusun melalui penyertaan Ladang Kontrak.

“Bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa kedua, FAMA turut mewujudkan Bilik Gerakan (Crisis Management Centre) yang beroperasi bermula 8 pagi sehingga 7 malam.

“Saya juga menyarankan orang ramai untuk membeli barangan secara atas talian bagi mengelak risiko jangkitan wabak melalui aplikasi yang disediakan seperti Agrobazar Online (ABO) dan e-commerce, begitu juga melalui Lazada, MyGroser dan OurFarm AirAsia,” katanya.

Sumber: My Metro