Maggi, Nestle Malaysia Agih 188,400 Bubur Lambuk

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Maggi dan Nestle (Malaysia) Berhad menerusi program Nestle Cares berkongsi juadah berbuka puasa, dengan mengagihkan 188,400 mangkuk bubur lambuk di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols, berkata menerusi inisiatif bubur lambuk Maggi dan program Nestle Cares, pihaknya akan terus menyumbang kepada masyarakat dan membekalkan makanan kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, bagi memulakan inisiatif tahun ini, lebih 70 warga emas di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Kajang dan 20 anak yatim dari Rumah Nur Kasih Bestari dijamu dengan bubur lambuk yang disediakan istimewa menggunakan ramuan segar dan produk Maggi.

“Lebih 40 sukarelawan Nestle Cares turut bergotong-royong membersihkan Pusat Jagaan Al-Fikrah dan kawasan sekitarnya.

“Di samping itu, sukarelawan turut membersihkan kebun sayur di rumah berkenaan, yang membekalkan tanaman segar kepada penghuni.

“Sukarelawan juga bekerjasama dengan komuniti pekebun Perumahan Awam Seri Perlis, menyediakan infrastruktur dan berkongsi kepakaran dalam pertanian komuniti bandar untuk menambah baik kebun dan juga landskapnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagi menceriakan lagi suasana Aidilfitri yang bakal disambut kelak, beliau berkata, Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia juga menerima sumbangan barangan dan peralatan baharu seperti set tilam dan tuala, permaidani, sistem bunyi baharu serta bekalan produk makanan dan minuman Nestle untuk tempoh setahun.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestle (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna, berkata program berkongsi rezeki dengan menyediakan bubur lambuk Maggi sempena bulan puasa itu sudah menjadi tradisi tahunan syarikat itu.

“Menerusi Nestle Cares, syarikat menerajui dan menyokong pelbagai inisiatif, yang bertujuan memberi sumbangan positif kepada pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat yang memerlukan di negara ini,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN