SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Maik agih Bantuan Perangsang kepada 19,000 penerima

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Machang: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menerima 19,000 senarai penerima di bawah Bantuan Perangsang menerusi Program Bantuan Maik 2021.

Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Mohd Azman Ghazali berkata, penerima di bawah bantuan itu adalah terdiri daripada peniaga kecil, penjaja di pasar awam dan tepi jalan, petani serta nelayan yang terjejas ketika pandemik Covid-19 dan berdepan dengan kekangan kewangan untuk memulakan semua perniagaan.

“Bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM5.5 juta dan setiap penerima menerima antara RM300 hingga RM500 dan ia sudah diagihkan bermula 23 Ogos lalu.

“Agihan dibuat menerusi Pejabat Tanah dan Jajahan Daerah dan kita jangka akan selesai dalam tempoh dua minggu supaya penerima terutama peniaga serta penjaja dapat memulakan semula perniagaan mereka yang terjejas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Azman berharap bantuan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima sebagai persediaan untuk berniaga semula memandangkan sektor ekonomi dilihat semakin diberi kelonggaran.

MOHD Azman (kiri) menyerahkan bakul makanan sempena Bantuan Prihatin MAIK kepada Rozili dari Kampung Tandak, Pangkal Meleret. FOTO Siti Rohana Idris
MOHD Azman (kiri) menyerahkan bakul makanan sempena Bantuan Prihatin MAIK kepada Rozili dari Kampung Tandak, Pangkal Meleret. FOTO Siti Rohana Idris

Menurutnya lagi, untuk Skim Bantuan Prihatin Maik pula, daripada 30,500 penerima yang disenaraikan, pihaknya membuat tambahan lagi 2,000 penerima menjadikannya seramai 32,500 orang.

“Peruntukan juga ditambah lagi RM400,000 kerana menerusi senarai yang dibuat oleh pihak masjid serta Pejabat Tanah dan Jajahan, masih ada yang tercicir.

“Bantuan ini terdiri daripada penerima membabitkan orang Islam serta bukan Islam termasuk kategori B40 dan M40 yang terkesan dan diberikan dalam bentuk bentuk barangan keperluan serta wang tunai,” katanya.

Terdahulu, beliau mengunjungi lima penduduk di sekitar daerah ini untuk agihan bakul makanan sempena Program Prihatin Maik.

Kunjungan itu turut disertai badan bukan kerajaan (NGO), Cempaka Merah Asnaf Society yang diketuai pengerusinya, Che Norhayati Mohamed.

Sumber: My Metro