MAIK peruntuk RM39.2 Juta bantu asnaf

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada salah seorang penerima di Masjid Ismaili di Tumpat pada Ahad. Foto Ihsan MAIK

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan sebanyak RM39.2 juta setiap tahun bagi membantu golongan asnaf.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman berkata, peruntukan yang dibelanjakan termasuk bagi tujuan pendidikan iaitu 18.75 peratus daripada jumlah kutipan zakat.

Menurutnya, menjadi keutamaan MAIK pada masa sekarang untuk memberi penekanan kepada bidang pendidikan berdasarkan kesedaran bahawa kemiskinan dapat diurus dan dikurangkan menerusi ilmu.

“Antara program bantuan yang dilaksanakan adalah bantuan persekolahan, bantuan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara, biasiswa Tengku Anis, bantuan kepada pelajar sekolah pondok dan lain-lain.

“Peruntukan yang dibelanjakan bagi tujuan pendidikan itu satu angka yang agak besar,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Sesi 2021 MAIK kepada pelajar asnaf di Masjid Ismaili di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Jajahan Tumpat, Mohd Azri Abdul Rahman.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MAIK membelanjakan sebanyak RM2.4 juta untuk diagihkan kepada 16,106 pelajar asnaf yang terpilih di seluruh Kelantan.

“Kesemua yang dipilih menerima bantuan persekolahan yang diberi dalam bentuk wang tunai untuk sesi persekolahan bagi tahun 2021.
“Penerima terdiri daripada pelajar sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) dari seluruh Kelantan yang dipilih melalui imam masjid bandar, jajahan serta masjid mukim,” katanya.

Katanya, bantuan yang diberikan adalah sumber daripada wang zakat yang disalurkan kepada penerima layak daripada golongan asnaf.

“Program agihan ini dilaksanakan di seluruh masjid bandar dan jajahan bermula 11 hingga 14 Januari ini.

“Bantuan pada tahun ini berbentuk wang tunai berjumlah RM100 untuk setiap keluarga yang dipilih daripada kalangan fakir miskin,” katanya.

Sumber : Sinar harian