Maklumat Bantuan Banjir Dalam Satu Portal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan membangunkan portal bantuanbanjir.com yang menghimpunkan pelbagai pautan di bawah satu laman sesawang bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan bantuan banjir.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, senarai penuh bantuan kerajaan tersedia di bawah portal tersebut seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan bantuan lain bagi membaiki rumah serta baucar membaiki kenderaan.

Secara keseluruhan, sejumlah RM1.4 bilion diperuntukkan bagi mangsa banjir di negara ini, dengan bantuan boleh mencecah RM61,000 bagi mangsa banjir yang terlibat.

“Semasa saya menyertai pelbagai program bantuan banjir, ramai mangsa yang berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang disalurkan. Namun ramai mangsa bertanya bagaimana untuk mendapatkan maklumat bagi memohon bantuan.

“Memang betul dengan pelbagai agensi terlibat dalam penyaluran bantuan mesti ramai yang hendak tahu bagaimana cara dapatkan bantuan,” katanya dalam video berdurasi 1.52 saat mengenai bantuanbanjir.com.

Katanya portal berkenaan dilengkapi langkah-langkah memanfaatkan bantuan yang disediakan agensi penyelaras bantuan.

Sumber: HARIAN METRO