
KUALA LUMPUR – Buat pertama kali, Malaysia berjaya mengatasi Indonesia sebagai pasaran automotif terbesar di ASEAN, sekali gus menandakan perubahan besar dalam landskap industri kereta serantau.
Menurut laporan Nikkei Asia, jualan kereta di Malaysia pada suku kedua 2025 melepasi Indonesia, walaupun populasi negara ini hanya sekitar 34 juta berbanding Indonesia yang mencecah 280 juta orang.
Pertumbuhan ini banyak dipacu oleh penguasaan jenama nasional, Perodua dan Proton, yang menguasai 63 peratus daripada keseluruhan jualan dalam separuh pertama tahun ini.
Model popular termasuk Perodua Alza dan Proton Saga, selain model antarabangsa seperti Toyota Vios dan Honda City.
Selain itu, peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) dan hibrid turut melonjakkan pasaran. Jualan EV di Malaysia meningkat 91 peratus tahun ke tahun dengan 12,733 unit, manakala jualan kereta hibrid naik 12 peratus kepada 17,480 unit.
Di pihak Indonesia, pasaran automotif kini berdepan tekanan ekonomi. Jualan kereta pada Jun merosot 21 peratus penurunan pertama sejak Mac 2024 berpunca daripada kuasa beli kelas pertengahan yang semakin lemah dan syarat kredit pengguna yang lebih ketat. Secara keseluruhan, jualan suku kedua di negara itu jatuh 12 peratus.
Dalam pada itu, Vietnam turut mencatat pertumbuhan pesat dengan jualan meningkat 18 peratus kepada 90,772 unit pada suku kedua, dan dijangka segera mengatasi Filipina untuk menjadi pasaran kereta keempat terbesar ASEAN.
Thailand pula menunjukkan tanda pemulihan selepas hampir dua tahun kemerosotan. Jualan suku kedua naik 3.6 peratus kepada 149,501 unit, banyak dipacu oleh peningkatan permintaan kenderaan elektrik. Antara Januari hingga Jun, jualan EV di Thailand melonjak 33
Perubahan ini menjadikan pasaran automotif ASEAN semakin dinamik dengan Malaysia kini muncul sebagai peneraju baharu rantau ini. – Agensi





