Masjid Abidin : Masjid tertua di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Kredit : Google Image

Terengganu merupakan sebuah negeri yang terkenal dengan jolokan Darul Iman.  Penemuan batu bersurat pada tahun 1303 telah membuktikan bahawa Islam telah lama bertapak di  di Terengganu. Dengan tersebarnya Islam di Terengganu, banyak masjid , surau , madrasah yang dijadikan pusat pengajian agama.  Masjid berperanan sebagai pusat  ibadah, intelektual dan pusat penyebaran dakwah bagi kaum muslim.  

Di Terengganu, Masjid Abidin  adalah masjid yang tertua di Terengganu. Masjid ini turut dikenali sebagai Masjid Besar atau Masjid Putih oleh penduduk setempat. Masjid ini terletak di Kuala Terengganu di Kawasan bandar Kuala Terengganu berdekatan stesen bas Kuala Terengganu. Meskipun sudah lama dibina, masjid ini masih kelihatan menarik kerana terdapatnya seni ukiran Khat Al-Qur’an, doa-doa dan awan larat yang dipasang di atas pintu dan sisi masjid. Selain daripada itu, terdapat juga sebuah mimbar berukiran yang unik di dalam masjid ini. Di tepi masjid pula terdapat makam diraja iaitu seperti makam Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan Mansur Shah dan beberapa lagi ahli keluarga diraja yang lain.

Menariknya, ketika bangunan masjid itu  ditubuhkan, pada asalnya ia merupakan istana kayu yang didirikan oleh Almarhum Sultan Zainal Abidin II antara tahun 1793-1808. Walaubagaimanapun, pada tahun 1852, ketika pemerintahan Almarhum Sultan Umar, masjid ini diubahsuai dengan pemasangan batu. Setelah didirikan, banyak  proses pengubahsuaian telah dilakukan bagi menampung jemaah yang semakin ramai.

Sekali lagi masjid ini melalui pengubahsuaian pada tahun 1901 pada masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, masjid ini diperbesarkan bagi menampung jemaah yang semakin bertambah. Selain daripada pembaikan ini, tiang-tiang batu bulat turut dibina dan tiga buah menara dinaikkan. Pembesaran masjid sekali lagi dilakukan pada masa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada tahun 1972, ianya diperbesarkan demi menampung sejumlah 2,500 orang jemaah. Turut didirikan sebuah menara yang tinggi dan beberapa buah  kubah di atas sutoh bangunan Masjid Abidin.

Pada awal pembinaan masjid ini, tiang seri atau tiang di tengah-tengah masjid masih belum dibina. Juga terdapat hanya sebuah kubah yang dibuat berasingan daipada kayu dan beratap kayu berlian, serta mempunyai 6 buah kolah sahaja. Di dalam pemerintahan Al Marhum Sultan Zainal Abidin III, barulah binaan masjid yang lama itu dibesarkan seperti keadaan sekarang. Sebelum tiang dibahagian tengah masjid ditambah, hanya terdapat dinding tembok diperbuat daripada simen, didirikan sutoh dan tiga menara sahaja.  

Pada tahun 1881, Sultan Ahmad II ibni Yang Dipertua Muda Tengku Mahmud telah membangunkan kubah masjid ini bagi menggantikan kubah lama yang telah dibina pada masa pemrintahan Sultan Umar. Satu istiadat telah diadakan sempena upacara tersebut pada jam 7.00 pagi, Sabtu 1hb Jamadil Akhir 1298H (1881M). 16 das tembakan meriam menandakan rasminya penggunaan kubah baru di masjid ini.

Sehingga kini, masjid Abidin masih lagi bergiat aktif dalam memainkan peranan sebagai tempat pelancongan yang menyebarkan agama dan dakwah. Aktiviti seperti Mosque Tour Guide di Masjid Abidin menerima ramai kunjungan para pelancong dari serata dunia bagi mendalami masjid sebagai tempat ibadah kaum muslimin dan memahami seni reka bentuknya.

Sumber rujukan :

  1. https://www.sinarharian.com.my/article/18211/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Asal-usul-Masjid-Abidin-di-Terengganu
  2. http://masjidabidin.org.my/Sejarah.htm