SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

Masyarakat Muslim Sepanyol Mengecam serangan ke atas masjid di Sepanyol

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MADRID, 13 Rejab 1442 H, Khamis : Penduduk di bandar kecil San Javier di Sepanyol, Murcia mengecam serangan ganas terhadap sebuah masjid yang berlaku pada 21 Januari lalu.

Menurut media tempatan, sekitar jam 4 pagi (3 pagi GMT) pada hari Ahad, letupan dirasakan oleh penduduk yang tinggal berhampiran sekitar pusat Islam tersebut.

“Saya mengalami insomnia jadi saya hanya duduk untuk merokok di apartmen saya, tepat semasa letupan berlaku. Saya mendengar bunyi kuat dan merasakan lantai bergerak,” kata Francisca Chuecos kepada akhbar harian tempatan La Verdad.

Setelah melihat api dan asap hitam, dia memberi amaran kepada jirannya dan memanggil polis, yang tiba dengan segera untuk memadamkan api sebelum merebak di dalam bangunan. Kebakaran dan letupan menyebabkan kerosakan pada tingkap dan rangka bangunan.

Polis mendapati bahawa terdapat seorang atau lebih pelaku, yang masih belum ditangkap. Pelaku tersebut turut menyembur menggunakan cat semburan dengan perkataan “death to Islam” di bahagian tingkap masjid. Cat semburan itu kemudian terkena api menyebabkan berlakunya letupan. Berdasarkan kemungkinan, pelaku memang mempunyai tujuan membakar masjid.

Serangan itu telah menyebabkan ramai komuniti masyarakat bingung dan marah.

“Tidak pernah ada masalah dengan penduduk Sepanyol atau Muslim. Kita semua saling menghormati,” kata Mohamed Mehdi, yang tinggal di kawasan itu selama satu dekad, kepada La Verdad.

Imam masjid itu, Brahim Roubi, bersetuju, sambil menambah bahawa masyarakat sentiasa ramah dan menerima masyarakat Islam.

“Saya agak risau kerana kami tidak menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku, tetapi saya yakin ianya hanyalah kejadian terpencil dan jarang berlaku,” tambahnya.

“Siapa pun yang ingin menyerang kehadiran kami pasti tidak akan pernah mencapai tujuan mereka.”

Dewan bandar San Javier juga mengutuk serangan itu, mengeluarkan pernyataan yang mengecam keras serangan itu dan menegaskan komuniti masyarakat bangga dengan “kehidupan harmoni kota San Javier yang menjadi bandar pelbagai budaya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”

Baru-baru ini Sepanyol juga melancarkan siasatan ke atas pihak sayap kanan mengenai ucapan kebencian terhadap umat Islam.

Sepanyol adalah tempat tinggal sekitar 2.1 juta umat Islam, dengan sekitar 100,000 tinggal di wilayah tenggara Murcia.