Mat Rempit Tak Pernah Serik, Sengaja Cabar Pihak Berkuasa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Butterworth: Walaupun operasi kerap dilakukan, persimpangan lampu isyarat Permatang Pauh menghala Ampang Jajar di sini masih menjadi litar lumba haram sekali gus mencabar undang-undang dan pihak berkuasa.

Ini jelas apabila operasi dijalankan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bermula jam 11 malam tadi masih mengesan aktiviti lumba haram di kawasan itu.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi itu seolah-olah tidak gentar dengan pihak berkuasa.

“Operasi seperti ini bukan kali pertama dilakukan dan tempat ini bukan asing bagi mereka (mat rempit), malah ada yang sudah dua atau tiga kali ditangkap sebelum ini.

“Tetapi mereka masih melakukan aktiviti sama seolah-olah mencabar penguat kuasa undang-undang dan tidak sayang nyawa sendiri,” katanya kepada pemberita ketika turut serta dalam operasi berkenaan.

Mohd Rozi berkata, dalam operasi itu seramai 350 penunggang motosikal berusia 15 hingga 35 tahun bersama kenderaan mereka dibawa ke balai untuk pemeriksaan lanjut.

“Lebih 250 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Malah ada seorang penunggang menerima sehingga tujuh saman.

“Amat menyedihkan dalam operasi ini, kita juga lihat ada remaja-remaja yang berumur 15 tahun turut terlibat dalam aktiviti ini dan tidak mempunyai lesen, malah spesifikasi kenderaan yang tidak mencerminkan ciri-ciri keselamatan.

“Disebabkan itu, kita perlu memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sama-sama memastikan bahawa aktiviti ini dapat kita hentikan,” katanya.

Katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan patuh dengan undang-undang dan segala peraturan ditetapkan demi keselamatan diri sendiri serta orang lain.

Sumber : HARIAN METRO