Mayat wanita terbakar: ‘Kami yakin siasatan polis, kenal pasti pembunuh’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: “Kami yakin dengan kemampuan dan kewibawaan polis melakukan siasatan dan mengenal pasti pembunuh ibu,” kata Wan Malianal Akmal Wan Abdul Manan, 37, anak Allahyarham Che Janiah Jaafar, 55.

Mayat Che Janiah dari Kampung Durian Guling di sini, ditemukan terbakar di tepi jalan di Kampung Padang Air di sini, pada 17 April lalu.

Wan Malianal anak kedua daripada tujuh beradik ditemui ketika bersama adik-beradiknya yang lain menuntut jenazah Che Janiah di bilik mayat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat yang ditemui seorang tukang sapu pada 7.15 pagi, 17 April lalu adalah ibunya selepas melakukan pengecaman dilakukan.

“Kami cam mayat yang ditemui terbakar adalah ibu berdasarkan parut pada kaki kanan dan giginya.

“Ibu yang berkerja sebagai tukang masak bersama abang ipar dan tinggal bersama adik, Sameer Danial Zulkifli, 17, keluar daripada rumah pada 10 malam, 16 April lalu,” katanya.

Wan Malianal turut mengesahkan membuat keluarganya ada laporan polis selepas 24 jam kehilangan ibunya pada 18 April lalu.

“Kami dihubungi polis untuk membuat pengecaman pada 19 April dan berdasarkan parut pada kaki kanan dan giginya kami yakin dia adalah ibu kami,” katanya.

Wan Malianal menjelaskan, ibunya kerap menasihatkan semua anak dan menantunya supaya mematuhi setiap suruhan Allah dan menjaga kesihatan.

Wan Malianal turut mengesahkan, jenazah ibunya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Felda Bukit Bading, Ajil, Kuala Berang selepas Zohor hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, perintah tahan reman dua suspek berusia 30-an dan 60-an untuk membantu siasatan disambung sehingga Rabu ini.

Menurutnya, kedua suspek yang ditahan dalam serbuan berasingan pada 1 Mei lalu sepatutnya berakhir Ahad lalu namun disambung lagi.

Sumber: My Metro dan Berita Harian