SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Menara Baharu Akan Dibina Di Kampung Tanjung Buluh, Lipis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil langkah proaktif meningkatkan kemudahan internet di Kampung Seberang Tanjung Buluh, Lipis dengan melaksanakan secara Proof of Concept (POC) oleh syarikat penyedia perkhidmatan internet satelit yang telah dilesenkan oleh SKMM.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pelaksanaan projek berkenaan susulan aporan akhbar Utusan Malaysia mengenai masalah liputan internet di kampung berkenaan.

Katanya, perkhidmatan ini disediakan di Masjid Kampung Tanjung Buluh yang terletak lebih kurang 600 meter dari rumah pengadu dan ianya berhampiran rumah penduduk kampung yang lain.

“Melalui perkhidmatan POC, capaian kepada internet 4G boleh diperolehi di kawasan sekitar lingkungan 200 meter dari Masjid Kampung Tanjung Buluh.

“Kerja-kerja pelaksanaan projek POC telah pun siap sepenuhnya dan akan mula diaktifkan dalam masa terdekat selewatnya pada minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, projek POC Ini juga adalah sebagai langkah sementara bagi menampung keperluan capaian internet kepada penduduk sementara pembinaan menara baharu disitu siap dilaksanakan pada tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

“Untuk makluman, bagi penyelesaian jangka panjang Kerajaan Pahang bersama SKMM telah mempunyai rancangan pembinaan satu menara baharu di Kampung Tanjung Buluh dibawah pelaksanaan Pelan JENDELA Fasa 1 dan pembinaannya akan bermula dalam masa terdekat.

“Kesungguhan dan komitmen berterusan Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama SKMM bagi meningkatkan kebolehcapaian internet di kawasan luar bandar membuktikan bahawa penduduk di kawasan pedalaman negeri ini tidak pernah dipinggirkan,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA