SEGMEN TERKINI

MANIS MANIS PAGI

6am - 10am

Mencapai keberkatan di awal pagi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Kredit: Unsplash

Tidak salah jika kita katakan bahawa hari yang baik bermula dari pagi yang baik. Dan pagi yang baik bermula dengan bangun pagi pada awal waktu. Bagi Umat Islam satu keuntungan buat kita kerana kita secara automatik terpaksa bangun pada awal pagi untuk solat subuh.

Selepas selesai solat subuh cabarannya adalah untuk melawan rasa mengantuk daripada tidur semula. Satu perkara yang merugikan jika kita terus melayan rasa mengantuk tersebut. Hal ini kerana kita akan terlepas daripada mendapat keberkatan dan rahmat pada waktu subuh. Ia sesungguhnya satu hal yang merugikan.

Subuh membawa keberkatan

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ ‏.‏ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلاً تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ‏‏  

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar briged tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan). Riwayat Abu Daud (2606). Syeikh Al-Albaani menilainya Sahih.

Keberkatan bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh, namun ia akan diberikan kepada sesiapa yang mencarinya dan berusaha mendapatkannya. Takrif keberkatan dari sudut bahasa ialah ziadah iaitu bertambah dan berkembang. Ini bermakna orang yang mendapat keberkatan akan mendapat banyak kebaikan dalam setiap perkara yang dilakukannya.

Dalam konsep keberkatan waktu pula, orang yang mendapat keberkatan ini adalah orang yang dilancarkan urusannya dalam tempoh waktu tersebut. Inilah merupakan nikmat terbesar yang ingin dicapai oleh setiap manusia. Bayangkan dengan keberkatan waktu, banyak perkara dapat diselesaikan hasil daripada keberkatan dan rahmat yang diperolehi pada waktu subuh.

Kita mungkin pernah mengalami satu situasi di mana kita cuba untuk menyelesaikan satu perkara dalam satu tempoh waktu yang lama, namun sayangnya segigih mana kita mencuba kita tetap tidak dapat menyelesaikkanya. Banyak faktor boleh menjadi punca, namun salah satunya adalah keberkatan masa.

Waktu subuh adalah waktu yang sunyi dan hening. Pada waktu ini agak mudah untuk kita merancang segala pekerjaan mahupun urusan yang ingin dilakukan sepanjang hari. Jadual pagi boleh dimulakan dengan memulakan solat qiamullail, solat subuh kemudian memulakan urusan harian di pagi hari. Waktu yang tiada gangguan sebegini akan lebih melancarkan urusan pekerjaan untuk diselesaikan.

Murah Rezeki Buat Mereka Yang Bangun Di Awal Pagi

Di dalam kitab Fath al-Bari , Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah menyebutkan bahawa rezeki itu dibahagi-bahagikan selepas solat subuh dan amalan-amalan diangkat dipenghujung waktu siang. Bagi siapa yang pada waktu tersebut dalam ketaatan, maka akan diberkati  rezeki dan amalannya.

Kisah kejayaan orang yang bangun pagi bukanlah satu rahsia lagi. Ia adalah resepi kejayaan turun temurun dari satu generasi ke generasi seterusnya. Namun, pokok pangkalnya adakah kita berusaha mengamalkannya.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad pula menyebutkan bahawa tidur waktu subuh menghalang rezeki kerana pada waktu itu adalah waktu meminta padanya makhluk hidup akan rezeki dan ianya adalah waktu di mana dibahagi-bahagikan rezeki dan tidur pada waktu tersebut adalah dilarang kecuali berlaku sesuatu yang tidak dapat dielakkan ataupun darurat.

Antara perkara yang menyebabkan individu yang bangun di awal pagi hebat kerana kerana mereka sebenarnya lebih bersedia memulakan harinya. Ya, ketika orang lain sedang lena diulit mimpi, individu yang hebat bangunawal pagi mengusahakan “impiannya”. Apabila mereka bangun pagi, maka mereka lebih bersedia kerana mereka memupunyai banyak watu untuk menyusul jadual harian.

Banyak figura terkenal barat terkenal seperti CEO Apple Tim Cook, Tony Robbins, Warren Buffet merupakan individu yang bangun pada awal pagi. Orang yang luar biasa sentiasa mnghidupkan paginya tidak kira mereka adalah penganut Muslim ataupun tidak.

Kesimpulan

Islam sangat mementingkan pengurusan masa. Meskipun tidak ada nas yang wajib menyatakan tentang kehebatan waktu subuh, namun tidak dapat dinafikan banyak kelebihan bagi mereka yang menghidupkan pagi. Setiap individu Muslim perlu berazam untuk bangun pagi sebagai satu rutin kehidupan.