
Pada usia yang sepatutnya masih sibuk mengejar impian remaja, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar sudah pun mencipta sejarah sendiri.
Di tengah sorakan ribuan penonton dan tekanan beraksi di gelanggang keramat Muay Thai dunia, Stadium Lumpinee, Bangkok, jaguh muda negara yang lebih mesra disapa Miki Ghazali membuktikan usia bukan penghalang untuk berdiri megah di puncak kejayaan.
Jaguh Muay Thai negara itu menepati ramalan apabila berjaya menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia dalam acara featherweight 57 kilogram pada temasya Sukan SEA, sekali gus mencuri tumpuan sebagai antara atlet paling muda namun paling berani di kejohanan berprestij tersebut.
Aksi cemerlang itu dipamerkan Miki selepas menewaskan wakil tuan rumah, Sirilun Suphakon, dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh debaran pada Rabu (17/12/2025)
Beraksi di hadapan penyokong lawan jelas bukan tugas mudah, namun Miki tampil dengan ketenangan luar biasa seolah-olah sudah lama masak di pentas antarabangsa.
Walaupun baru berusia 16 tahun, Miki langsung tidak gentar berdepan lawan yang tujuh tahun lebih berpengalaman. Setiap gerak dan serangannya di atas gelanggang mencerminkan kematangan, disiplin serta keyakinan tinggi, hasil latihan berterusan dan sokongan keluarga yang tidak pernah putus.
“Alhamdulillah, hari ini semuanya berjalan dengan lancar. Rezeki memang berpihak kepada Miki,” katanya penuh syukur sejurus perlawanan tamat.
Malah, dengan nada berseloroh, anak ketiga daripada empat beradik itu mengakui kejayaan itu sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Tadi dalam gelanggang pun Miki terfikir, siapa saja umur 16 tahun dah dapat emas Sukan SEA,” katanya lagi.
Dalam pertarungan tersebut, anak muda yang berasal dari Sarawak itu menguasai dua pusingan awal dengan keputusan 10-9 sebelum tewas tipis 9-10 pada pusingan ketiga. Namun kelebihan mata keseluruhan membolehkannya meraih kemenangan 29-28, sekali gus mengesahkan pingat emas milik Malaysia.
Keputusan itu bukan sekadar kemenangan di atas kertas, malah menjadi simbol kebangkitan generasi baharu Muay Thai negara.
Sumber: SINARPLUS





