MYHAR jamu 120 asnaf berbuka sepanjang Ramadan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BACHOK: Kesusahan dilalui penduduk yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu, mencetuskan ilham buat pengurusan Masjid Haji Yusoff Ar Rowi (MYHAR) di sini, menyediakan hidangan berbuka untuk mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan ini.

Inisiatif berkenaan diharap dapat meringankan beban penduduk apabila Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terutama mereka dalam kalangan miskin dan anak yatim sekitar kawasan itu yang terjejas akibat COVID-19 dan mengalami masalah kesihatan. 

Pengerusi kariah, Datuk Mohd Rowi Dollah, berkata setiap hari pihak masjid akan menyediakan hidangan berbuka dengan menukar menu yang berharga RM10 setiap hidangan untuk 120 asnaf sepanjang Ramadan ini.

“Mereka akan mengambil makanan yang diagihkan selama sejam bermula 5 petang di hadapan masjid. Kita agihkan makanan siap dimasak dan mereka hanya perlu pandu lalu untuk ambil makanan. Kita bersyukur kerana sejak pertama Ramadan hingga kini, kita belum terputus lagi mengagihkan makanan berbuka dan akan diteruskan hingga akhir Ramadan,” katanya ketika ditemui. 

Mohd Rowi berkata, sumbangan hidangan berbuka itu diberikan kepada penerima yang sama yang dipilih dari kalangan penduduk yang benar-benar memerlukan seperti kehilangan kerja ketika PKP, mempunyai masalah kesihatan, ahli keluarga ramai dan ibu tunggal serta anak yatim.

Penduduk, Azizah Dollah, 52, yang menghidap penyakit paru-paru berair dan masalah jantung bersyukur menjadi penerima juadah berbuka secara percuma itu yang kini masuk hari ke-21 Ramadan. 

“Suami, Razali Mat Tahir, 56, pula tidak dapat bekerja sejak PKP. Kami bersyukur dengan adanya juadah percuma ini dapatlah kami berdua menjamah makanan lebih enak kerana sebelum ini terpaksa mencatu makanan kerana tidak mampu,” katanya yang bersama suami, tinggal menumpang di rumah saudara-mara.

SUMBER: Berita Harian