SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Ops Kilang serbu 22 kilang papan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Temerloh: Seksyen Penguatkuasan Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melakukan serbuan ke atas 22 kilang papan di daerah ini bagi mengesan balak curi dalam Ops Kilang yang dijalankan selama tiga hari bermula Isnin lalu.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Zon Pahang Timur JPNP Muhammad Firdaus Abdul Kadir @ Yusof berkata, dalam operasi berkenaan 12 kilang dikenakan amaran keras kerana rekod penerimaan atau kemasukan balak kilang tidak lengkap.

Beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan bagi mengesan beberapa kesalahan lain dilakukan kilang papan seperti gagal menyediakan rekod penerimaan atau kemasukan balak ke kilang mereka.

Menurutnya, jabatan memandang serius kesalahan dilakukan kilang papan dan tindakan tegas dikenakan sekiranya terbukti mereka melakukan kesalahan terutama membabitkan kesalahan berkaitan menerima balak curi daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, semua pas memindah balak diperiksa bagi memastikan semua balak di pusat pengumpulan balak di kilang papan dalam senarai pas terbabit.

“Terdapat 64 kilang papan di daerah ini termasuk Bera yang berdaftar dengan JPNP, ia terletak di kawasan perindustrian seperti Songsang dan Mentakab.

“Ops Kilang diadakan susulan aduan menyatakan terdapat beberapa kilang papan di daerah ini menerima balak curi sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ops Kilang membabitkan lebih 25 kakitangan Unit Penguatkuasa JPNP Zon Pahang Barat dan Timur dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Muhammad Firdaus menambah, pihaknya akan terus mengadakan operasi di setiap daerah di negeri ini bagi mengekang kegiatan membawa masuk balak curi yang didalangi individu tertentu.

“Kita akan menyenarai hitam kilang papan yang mempunyai rekod menerima balak curi, anggota UPK dan UTK menggunakan pelbagai cara bagi kegiatan salah itu.

“Mereka jangan fikir boleh terlepas, sekiranya terbukti bersalah pemilik kilang papan akan dikenakan kompaun mengikut Enakmen Industri Berasas Kayu 1985, balak dan kayu bergergaji serta kilang akan disita,” katanya.

Sumber: My Metro