SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Pahang sedia cabutan bertuah galak daftar vaksinasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Kerajaan negeri Pahang mengambil inisiatif mengadakan cabutan bertuah bagi menggalakkan penduduk negeri itu mendaftar sebagai penerima vaksin melalui laman web Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, cabutan bertuah itu menawarkan hadiah baucar bernilai RM1,000 bagi setiap pendaftar ke-50,000 dan 100,000 sehingga pendaftaran mencapai sasaran ditetapkan iaitu 1.1 juta penduduk.

“Baucar ini boleh ditebus di dua pasar raya besar di seluruh Pahang dengan pemenang perlu menuntut hadiah itu di pejabat daerah terdekat. Mereka yang membuat pendaftaran lengkap dan memberikan persetujuan untuk divaksin sahaja layak menyertai cabutan bertuah tersebut.

“Ini kerana kita dapati ramai yang tidak melengkapkan pendaftaran seperti untuk fasa dua pemberian vaksin, seramai 168,592 orang telah mendaftar tetapi hanya 38,000 individu yang berjaya melengkapkan sepenuhnya permohonan,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi Imunisasi Kerajaan Pahang, di sini, hari ini.

Sallehuddin berkata, kerajaan negeri menggalakkan penduduk Pahang mendaftar di SICP, yang dibangunkan kerajaan negeri itu bagi memastikan tiada pihak ketinggalan pendaftaran atau tarikh janji temu suntikan yang diterima menerusi aplikasi MySejahtera.

Sebagai contoh, SICP memudahkan pendaftaran mereka yang tidak mempunyai capaian Internet atau telefon pintar kerana ia boleh dilakukan menerusi panggilan telefon atau dibantu oleh agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) yang dibenarkan membantu membuat permohonan itu.

Pada majlis itu, dua individu diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah fasa pertama iaitu pendaftar yang ke-50,000 dan pendaftar ke-100,000.

Sumber: My Metro