Pahang Sedia Hadapi Risiko Banjir Awal – Wan Rosdy

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARAN – Semua jentera dan aset agensi penyelamat di Pahang sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana banjir berlaku lebih awal daripada yang dijangka susulan ramalan hujan berterusan mulai esok, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kerajaan negeri dan agensi terlibat telah mengadakan taklimat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk persediaan sewajarnya, selain peruntukan RM47 juta juga telah diluluskan bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

“Persediaan telah dilakukan dengan mengambil kira pengalaman banjir sebelum ini dan penambahbaikan yang dicadangkan pihak berkaitan termasuk oleh pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.

“Agensi berkaitan juga telah menghantar bekalan makanan ke lokasi yang dikenal pasti berisiko terputus hubungan akibat banjir sebagai langkah awal,” katanya pada media selepas menghadiri perjumpaan bersama jentera pilihan raya di Chenor, di sini hari.

Beliau mengulas mengenai persediaan banjir di Pahang selepas MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula esok hingga Jumaat ini.

Pada perkembangan lain, Wan Rosdy mengakui kemungkinan terdapat mangsa banjir sebelum ini yang belum menerima bantuan baik pulih rumah, namun secara keseluruhan bantuan itu telah disampaikan kepada mereka yang layak.

“Mungkin ada satu dua rumah (yang belum menerima bantuan) kerana masalah teknikal…saya tak nafikannya, tapi ia tidak mewakili keseluruhan mangsa banjir dan sebenarnya banyak yang telah kita bantu,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian bagi mengulas dakwaan calon Pakatan Harapan Parlimen Bentong Young Syefura Othman yang mendakwa terdapat mangsa banjir mengadu kepadanya masih belum menerima bantuan banjir selepas lebih 10 bulan bencana itu berlaku.

Sumber : BERNAMA