SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Pahang Wajar Terima Lebih RM150 Juta, Kekalkan Hutan Simpan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kerajaan Negeri menyambut baik keputusan Kerajaan Pusat yang bersetuju memberikan pampasan kepada Pahang serta negeri-negeri lain atas komitmen mengekalkan hutan simpan setelah cadangan itu dibuat oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam program di Bera, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin, Pahang wajar menerima pampasan lebih RM150 juta setahun terhadap komitmen mengekalkan lebih 57 peratus hutan simpan di negeri itu.

“Selepas YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyatakan berhubung persetujuan tersebut, YAB Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan Kedah wajar menerima sekurang-kurangnya RM100 juta setahun sebagai pampasan terhadap komitmen mengekalkan hutan simpan.

“Jika Kedah yang mana kawasan hutan simpannya berjumlah 36.4 peratus menuntut pampasan RM100 juta setahun, maka Pahang yang mana kawasan hutan simpannya lebih besar dari Kedah dan tertinggi di Semenanjung, layak menerima lebih RM150 juta setahun.

“Pengekalan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air itu cukup penting sekali gus Pahang dapat menyalurkan bekalan air mentah dari Pahang bagi menampung keperluan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kelmarin, Dato’ Sri Ismail Sabri dilaporkan sebagai berkata, Kerajaan Pusat akan mencari formula terbaik bagi menilai jumlah pampasan yang dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan tidak membebankan kerajaan Pusat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan komitmen negeri ini, maka pampasan yang bakal diterima Pahang kelak seharusnya selari dengan pengorbanan dibuat bukan sahaja untuk negeri ini malah seluruh negara.

“Namun, kerajaan negeri menyerahkan kepada Kerajaan Pusat untuk mencari formula terbaik dalam menentukan jumlah pampasan yang wajar kepada setiap negeri yang mengekalkan kawasan hutan simpan,” katanya

Sumber: PAHANGMEDIA