SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Pantai Anak Air Tarikan Baharu Pelancongan Di Kuantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kini sedang giat melakukan kerja-kerja pembersihan dan naik taraf di beberapa lokasi pelancongan di daerah Kuantan termasuklah Pantai Anak Air yang sebelum ini agak asing di kalangan pengunjung.
 
Datuk Bandar MBK, YH Dato’ Hamdan Hussin berkata, Pantai Anak Air tersebut bakal menjadi destinasi pelancongan dan aktiviti rekreasi yang sering menjadi tumpuan di kalangan pelancong pada masa ini.
 
“Oleh sebab itu semua usaha kami selaras untuk memajukan masyarakat setempat, meningkatkan ekonomi dan juga budaya dan setelah mendapat maklum balas daripada masyarakat bahawa usaha ini sangat mereka harapkan dan dapat membuka ruang dan peluang dari segi pendapatan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Datuk Bandar MBK, YH Dato’ Hamdan Hussin 

Beliau berkata demikian selepas melancarkan dua buah buku iaitu Inspirasi Ilmu dan Buah pada Majlis Pelancaran Buku Terbitan Kolej Komuniti Kuantan di Dewan Besar, Kolej Komuniti Kuantan, di sini, semalam
 
Katanya, MBK telah melihat potensi pembangunan ekonomi ini pada setahun yang lalu apabila MBK giat melaksanakan kerja-kerja pembangunan infrastruktur melibatkan semua pantai termasuklah di Chendor, Cherating, Sungai Ular, Batu Hitam, Teluk Chempedak, Kempadang dan Sepat dan terbaru Pantai Anak Air.
 
“Kita tahu Kuantan mempunyai pantai begitu panjang iaitu dianggarkan melebihi 80 kilometer dan semua pantai ini boleh diakses dengan mudah boleh pengunjung.
 
“Jadi, dengan aset yang ada ini kita cuba menaiktaraf Pantai Anak Air sebagai satu lokasi baharu. Kalau ikutkan kawasan ini kurang popular tetapi kita yakin selepas ini ia akan menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar,” katanya.
 
Bagi tujuan itu, MBK memperuntukkan kira-kira sebanyak RM4 juta bagi menaiktaraf kemudahan rekreasi di semua kawasan pelancongan di sekitar daerah Kuantan.

Sumber: PAHANGMEDIA