SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

Pegawai Kanan Polis Meninggal Akibat Serangan Jantung, Bukan Akibat Vaksin Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan.


KUANTAN, 05 APRIL 2021: Kematian seorang pegawai kanan polis di negeri ini pada Sabtu lepas bukan berpunca daripada suntikan vaksinasi COVID-19 seperti yang ditularkan tetapi disebabkan oleh serangan jantung.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, keputusan ini diperoleh setelah proses bedah siasat dijalankan bagi mengetahui punca kematian Timbalan Ketua Cawangan Khas (P/K) Cawangan Khas Pahang berkenaan.

“Allahyarham meninggal dunia lebih kurang pukul 4.30 petang di Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan hasil bedah siasat yang dilakukan oleh doktor di HTAA, punca kematian Allahyarham yang berusia 56 tahun ini disahkan disebabkan oleh serangan jantung.

“Hasil dari bedah siasat ini juga mengesahkan kematian pegawai berpangkat ACP ini tiada kaitan dengan proses vaksinasi kedua yang telah diterima olehnya,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata, keluarga Allahyarham yang turut hadir ketika proses bedah siasat berpuas hati dengan penerangan oleh pihak HTAA berkaitan punca kematian pegawai kanan berkenaan.

“Urusan pengebumian juga diuruskan dan dibantu oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sebaik sahaja selesai proses bedah siasat di HTAA.

“Keluarga Allahyarham yang berada di Cheras, turut hadir sekali di HTAA dan berpuas hati dengan penerangan dan bantuan yang diberikan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tidak pasti kebenarannya.

“Nasihat saya, jangan sesekali sebarkan berita yang kurang pasti, rujuk pada pihak yang berkenaan untuk pengesahan.

“Kita juga mohon agar orang ramai menghormati keluarga Allahyarham yang masih bersedih dengan berita kehilangan orang yang tersayang dan marilah kita bersama berdoa semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan mereka yang beriman,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA