SEGMEN TERKINI

MANIS MANIS PAGI

6am - 10am

Pelajar, kakitangan UiTM Kelantan sertai tadarus al-Quran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MACHANG – Seramai 1,200 pelajar dan kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan menyertai tadarus al-Quran sejak awal Ramadan hingga minggu lalu.

Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohammed berkata, dalam keadaan kawalan pandemik Covid-19, program tadarus tersebut dijalankan secara dalam talian menggunakan tiga aplikasi utama iaitu Google Meet, Webex dan YouTube.

“Kebanyakan aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan secara dalam talian sebagai penyesuaian dalam norma baharu dan sebagai alternatif, Program Pembudayaan al-Quran (PPAQ) ini juga mengikut konsep yang sama.

“Aktiviti PPAQ sempena Ramadan kali ini antaranya adalah tadarus al-Quran, tafsir, tadabbur dan juga ceramah agama. Sesuai dengan norma baharu, aktiviti tadarus dilakukan melalui dua kaedah utama iaitu secara pertemuan fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan juga secara dalam talian.

“Warga UiTM telah memberikan maklum balas yang baik dan meminta ia diteruskan kerana memahami akan pentingnya untuk sentiasa berinteraksi dengan al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni berlandaskan ajaran agama Islam dalam jiwa warga universiti dan membentuk kesatuan jiwa selain mengeratkan hubungan kerohanian dalam kalangan kakitangan dan pelajar.

Beliau berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama Sekretariat Pembudayaan al-Quran yang terdiri daripada Unit Hal Ehwal Islam, Unit Komunikasi Korporat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Perpustakaan Tengku Anis dan Unit Latihan.

“Ia dilaksanakan dengan menjadikan reading corner @ PTA sebagai sudut al-Quran di setiap bahagian bagi mengimarahkan dan mempergiatkan aktiviti-aktiviti penghayatan al-Quran.

“Majlis khatam al-Quran juga diadakan pada 5 Mei iaitu hari terakhir mereka bertadarus. Alhamdulilah, semuanya berjalan lancar dan apa yang penting, kita sebagai umat Islam perlu kreatif dan sentiasa mencari penyelesaian sesuai dengan norma baharu yang ada pada hari ini,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian