Pemain Indonesia, Tjen Lakar Kejutan Awal Terbuka AS

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

NEW YORK: Pemain Indonesia dari pusingan kelayakan Janice Tjen mencipta kejutan awal pada Terbuka AS awal pagi tadi apabila menyingkirkan pilihan ke-24 dari Russia, Veronika Kudermetova dalam tiga set untuk mara ke pusingan kedua.

Tjen, yang muncul pemain pertama Indonesia beraksi dalam undian utama perseorangan Grand Slam sejak Angelique Widjaja pada Terbuka AS 2004, mempamerkan ketenangan hebat sebelum menang 6-4, 4-6, 6-4.

Pemain berusia 23 tahun kelahiran Jakarta itu menguasai set pertama dengan mematahkan servis Kudermetova sebanyak dua kali sebelum menutup set itu 6-4.

Walaupun Kudermetova bangkit menyamakan kedudukan pada set kedua, Tjen kembali mengambil inisiatif pada set penentuan.

Dia merampas servis lawan seawal game pertama dan mengekalkan kelebihan itu sebelum memastikan kemenangan dengan servis sempurna tanpa balasan.

“Ia amat bermakna,” kata Tjen mengenai kemenangannya.

“Saya berasa bangga dapat lakukan ini untuk negara saya.

“Mudah-mudahan kemunculan saya di sini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pemain tenis untuk percaya mereka juga boleh berada di sini.”

Tjen, yang kini menghuni ranking ke-149 dunia, akan menentang pemain Britain, Emma Raducanu pada pusingan kedua.

Pemain Indonesia itu berkata dia pernah mendapat inspirasi ketika menyaksikan kejayaan ajaib Raducanu menjuarai Terbuka AS 2021 sewaktu dia sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Pepperdine, California.

“Ketika Emma menang kejohanan ini dengan prestasi menakjubkan, saya masih di kolej dan ketika itu saya mengalami kecederaan,” kata Tjen.

“Hanya dengan melihat dia berjaya, saya juga rasa mendapat inspirasi untuk mencuba.”

– AFP