Pemandu Lori Mengaku Salah Cederakan Mentua, Isteri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS – Seorang pemandu lori mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan kerana mencederakan isteri dan ibu mentuanya di Kampung Cabang Empat, dekat Tumpat, Selasa minggu lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Wan Mohammad Hafizuddin Wan Ismail, 27, sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan pada ibu mentua, Tuan Azizah Tuan Bongsu, 61 dan isteri, Nik Salma Joni, 26, menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Cabang Empat di Tumpat pada jam 5.30 petang, 21 Jun lalu.

Bagi kesalahan mencederakan mentua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu. Sementara Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dibimbangi mengganggu saksi. Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 5 September sebagai tarikh utnuk menetapkan hukuman.

Sumber: BERITA HARIAN