PEMATUHAN SOP SEKOLAH DI KUANTAN TERBAIK

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Sesi persekolahan 2021 secara bersemuka yang bermula hari ini bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di daerah ini menyaksikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang baik dan memuaskan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam tinjauan yang dilaksanakan mendapati ibu bapa hadir ke sekolah menemani anak mereka dalam situasi norma baharu iaitu dengan memakai pelitup muka bagi mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, kesemua pelajar dan warga sekolah mengambil suhu badan dan menjaga penjarakan sosial malah dilihat bersemangat untuk kembali ke sekolah walaupun dalam norma baharu.

“Saya lihat pihak sekolah juga mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan proses saringan berjalan dengan baik, kemas dan teratur.

“Setakat ini, sekolah mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi mengekang berlaku penularan wabak COVID-19 seterusnya sesi persekolahan boleh berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sebelum itu beliau turut menghadiri Program ‘First Day At School’ Daerah Kuantan di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah di sini.

Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor berkata, beliau juga meminta ibu bapa yang menghantar dan mengambil anak mereka di sekolah sentiasa terus mengikut SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya juga tidak menggalakkan murid-murid membeli makanan dan minuman di luar pagar sekolah kerana dibimbangi tidak terkawal sehingga melanggar SOP,” katanya.

Sumber: PAHANG MEDIA