SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Pemburu Kerja Disaran Rebut Elaun Cari Kerja Sehingga RM400

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BESUT – Para pemburu kerja dalam negeri ini disaran merebut elaun mencari pekerjaan atau dikenali sebagai SIP Prihatin 2.0 yang menawarkan Elaun Persediaan Bekerja dalam bentuk one-off sebanyak RM400.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pencari kerja dapat menikmati elaun tersebut jika menghadiri sesi temuduga sebanyak satu kali dan diterima kerja oleh pihak majikan.

“Menerusi Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi 2.0 (PEMULIH), perluasan Elaun Mencari Pekerjaan bernilai RM300 telah disediakan oleh pihak PERKESO kepada pencari kerja yang menghadiri temuduga sebanyak 3 kali temuduga selama dua bulan.

“Manakala Elaun Persediaan Bekerja sekiranya telah kembali bekerja bagi individu yang tidak dilindungi dibawah Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) PERKESO dan juga bagi individu yang menganggur dan aktif mencari pekerjaan.

“Bakal warga kerja khususnya anak-anak negeri perlu mengambil peluang inisiatif kerajaan ini dalam membantu usaha penempatan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program ‘Outreach’ Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu Edisi Daerah Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, Jertih, pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, Dato’ Mohd Sahar Darusma menceritakan jumlah permohonan bagi SIP Prihatin 2.0 secara keseluruhannya adalah sebanyak 4,991 orang.

“128 permohonan telah diluluskan dengan jumlah perbelanjaan setakat ini adalah sebanyak RM56,300.

“Setakat ini, jumlah rakyat Terengganu secara umumnya yang telah berdaftar dibawah portal MYFuture Jobs adalah seramai 38,287 orang.

“2,550 orang adalah daripada kawasan Jerteh, Besut. Manakala Majikan pula, jumlah telah berdaftar adalah sebanyak 1,590 majikan dan 40 majikan adalah berasal dari kawasan Jerteh,” ujarnya.

Katanya lagi, pihaknya akan membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan lagi pemohonan rakyat Terengganu untuk mendapatkan insentif pelan disediakan sejak berkuatkuasa pada 15 Julai lalu.

Pencari kerja perlu menggunakan portal MYFuture Jobs iaitu Portal Pencarian Pekerjaan Kebangsaan bagi memuat naik aktiviti pencarian pekerjaan.

Sumber: TRDI News