Pemohon tidak lulus GKP akan automatik dipertimbang untuk BKM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan, akan dipertimbang untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan baharu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata langkah itu adalah bagi memastikan tiada mana-mana individu yang layak dan memerlukan, tercicir daripada menerima bantuan.

“Sukacita saya mengumumkan bahawa pemohon GKP yang tidak diluluskan permohonannya kerana sebelum ini menerima Bantuan Prihatin Rakyat atau Bantuan Khas COVID-19, mereka akan dipertimbangkan untuk bantuan BKM secara automatik tanpa perlu membuat permohonan.

“Di samping itu, data daripada sembilan agensi kerajaan lain seperti e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghuni perumahan awam, projek perumahan rakyat (PPR), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), ibu tunggal, penerima skim insurans PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang juga akan dimasukkan ke dalam data permohonan BKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan komited membantu golongan memerlukan, dan tidak merancang untuk mengurangkan bantuan kepada golongan rentan bagi 2022.

Beliau menjelaskan bagi separuh tahun ini, sebanyak RM10 bilion bantuan tunai disediakan, termasuk bayaran RM500 menerusi GKP dan Bantuan Khas COVID-19.

“Bagi 2022, kerajaan meningkatkan lagi bantuan tunai kepada B40 tetapi peruntukan RM8.2 bilion BKM disediakan bawah KWC (Kumpulan Wang COVID-19) dan bukan bawah butiran subsidi serta bantuan tunai,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2022, bulan lalu, kerajaan memperkenalkan BKM dengan bantuan tunai tertinggi sebanyak RM2,000, bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

BKM dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion, bakal memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima membabitkan isi rumah mempunyai tiga anak dan lebih, selain purata pendapatan bulanan bawah RM2,500 sebulan.

Sumber: Berita Harian