Pemuda OKU hanya mampu gerak ibu jari gigih cari rezeki

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
AINUL Afief Zunaidi sentiasa ditemani ibunya, Nik Rosita Nik Hassan. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Alah bisa tegal biasa. Hanya menggunakan satu jari, seorang pemuda yang mengalami lumpuh seluruh badan gigih mencari rezeki menjadi pereka dengan membuka premis mencetak baju sejak Februari tahun lalu.

Ainul Afief Zunaidi, 28, menghidap penyakit Duchene Muscular Distrofi (DMD) sejak berusia 10 tahun, mengakibatkan berlaku kelemahan pada otot dan mengganggu pertumbuhan fizikalnya yang kini hanya mampu menggerakkan kepala dan ibu jari tangan sebelah kanan.

Bagaimana pun, kasih ibu membawa ke syurga, Ainul Afif sentiasa dibantu ibunya, Nik Rosita Nik Hassan, 53, yang hampir 24 jam berada di sisi bagi membantu dia menghasilkan rekaan terbaik bermula daripada proses mencetak baju sehingga ia sedia untuk diserahkan kepada pelanggan.

“Ibu bagaikan ‘anggota badan’ saya yang akan membantu melakukan setiap perkara yang memerlukan pergerakan fizikal. Malah, jari yang satu ini juga perlukan ibu untuk diangkat ke komputer riba bagi saya menyiapkan setiap rekaan.

“Saya hanya mampu bersandar di kerusi roda ini, namun ia bukan penghalang untuk saya turut berjaya seperti orang normal yang lain. Menggunakan teknologi masa kini, saya belajar semua tentang dunia rekaan dan cetakan baju hanya melalui internet serta Youtube.

“Setelah hampir dua tahun saya belajar sendiri melalui Youtube selain turut menghadiri kelas memulakan perniagaan, barulah saya yakin untuk mengajak ibu menyewa premis dengan sewa RM480 sebulan,” katanya ketika ditemui di kedai Nik EZ Shop miliknya, di Kampung Binjai Limbat, Jalan Mulong, di sini, semalam.

Ainul Afif menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan kisahnya turut mendapat perhatian Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang menyampaikan mesin cetakan bernilai RM36,000.

Dia yang pemalu namun murah dengan senyuman mengakui, hanya bersekolah sehingga Tahun Lima, susulan keadaan dirinya yang tidak mengizinkan selain mula mendapatkan rawatan penyakitnya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak berusia lapan tahun.

“Melihat keadaan saya yang tidak lagi mampu ke sekolah, ibu mengambil inisiatif membeli komputer untuk mengisi masa lapang. Saya hanya terjejas pada fizikal, bukan pada otak dan pemikiran, justeru saya gunakan peluang ini dengan belajar sendiri setiap perkara melalui internet.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat buktikan dan mampu membuka perniagaan ini sambil dibantu ibu yang sentiasa di sisi,” katanya yang juga anak bongsu daripada dua adik beradik.

Sementara itu, ibunya, Nik Rosita meluahkan rasa bangga dengan kesungguhan serta semangat yang ada pada Ainul Afif, malah mengakui dia sendiri banyak mempelajari ilmu baru dalam bidang perniagaan terutama cetakan baju.

“Sebelum ini, saya hanya tukang jahit baju, namun demi merealisasikan cita-cita anak saya yang istimewa, saya turut sama ‘terjun’ ke bidang ini dan menguruskan perniagaan yang semakin mendapat sambutan.

“Selagi hayat dikandung badan, saya akan terus bersama Ainul Afif yang memerlukan bantuan ibu 100 peratus untuk menjalani kehidupan,” katanya yang juga seorang ibu tunggal.

SUMBER: MyMetro\